Mayat bapa empat anak tersangkut pokok dalam sungai
KUALA KRAI - Seorang bapa empat anak yang hilang selepas keluar dari rumah dan didakwa mengunjungi air terjun di Lata Golok Chenulang, di sini sejak lima hari lalu akhirnya ditemukan sudah meninggal dunia pada petang Rabu.
Mayat Muhammad Fakeh Mat Hussin, 28, ditemukan pada jam 3 petang dalam keadaan badan membengkak dan tersangkut pada pokok di dalam sungai di Kampung Pasir Jering, di sini iaitu 10 kilometer (km) dari lokasi kain pelikatnya ditemui pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mayat tanpa pakaian itu ditemui oleh penduduk kampung yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memasuki hari keempat bermula Ahad lalu dan berakhir petang Rabu.
“Pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk membawa keluar mayat mangsa kerana lokasi dijumpai jauh di kawasan pedalaman yang hanya boleh dimasuki dengan kenderaan pacuan empat roda (4x4).
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan selepas dua jam dan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) pada jam 5 petang tadi untuk proses pengecaman dan bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kakak tiri Muhammad Fakeh iaitu Zailawati Ibrahim, 47, hadir ke HKK untuk melakukan pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut adalah adiknya yang hilang sejak Jumaat lalu.
“Punca kematian masih dalam siasatan kerana menunggu proses bedah siasat selesai,” katanya.
Sementara itu, Zailawati ketika dihubungi, tidak dapat mengulas lebih lanjut kerana masih bersedih dengan kejadian yang berlaku.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, bapa kepada empat cahaya mata yang berusia tiga bulan sehingga enam tahun tersebut keluar dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego dari rumah keluarga di Kampung Lata Golok Chenulang, di sini pada jam 11.40 malam, Jumaat lalu tanpa meninggalkan sebarang pesan dan ketika ibunya sedang tidur.
Motosikalnya dijumpai oleh pemandu lori balak berhampiran sungai manakala kain pelikatnya ditemui tersangkut pada pokok di seberang sungai.
Muhammad Fakeh mengalami kemurungan sejak Mei lalu akibat masalah rumah tangga yang dihadapi berkait isu perceraian dan sudah dua kali menjalani rawatan psikiatri di HKK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!