Terpaksa kurung suami elak hilang
GUA MUSANG - Dua tahun lalu, warga emas dari Kampung Kundir ini pernah sesat hingga ke Tanah Merah berikutan penyakit Alzheimer yang dihidapinya.
Bekas tentera, Ibrahim Deraman, 70, dikatakan menaiki bas dari stesen Gua Musang ke Tanah Merah dan tidur di sana semalaman.
Menurut isterinya, Napisah Yaakob, 63, ekoran kejadian itu, dia terpaksa mengurung suaminya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Katanya, sejak Ibrahim diserang penyakit angin ahmar pada 2015, ingatan suaminya itu mula terganggu dan akan keluar ke mana sahaja tanpa tujuan.
"Sebelum ini, dia pernah terlepas ke kawasan sekitar dan sempat dibawa pulang anak-anak. Ada juga dia terlepas hingga ke Hospital Gua Musang (HGM) sejauh lebih lima kilometer.
"Tapi, paling jauh di Tanah Merah. Kami tidak sangka dia akan ke stesen bas kerana jarak agak jauh dari rumah.
"Merata tempat saya dan anak-anak mencari, namun tidak jumpa. Akhirnya anak-anak buat hebahan sehingga ada yang menemui suami di stesen bas Tanah Merah," katanya.
Napisah berkata, dia terpaksa mengunci semua pintu rumah dan pagar bagi mengelakkan suaminya itu keluar tanpa pengetahuan.
"Dia semakin berumur dan dengan penyakit yang dialami, kami risau keselamatannya. Ada juga ketika saya lupa kunci pagar dan pintu, dia keluar.
"Nasib baik sempat cari dan anak-anak bawa pulang walaupun suami dalam keadaan marah-marah," katanya.
Biarpun ingatannya terjejas, semangat cintakan negara Ibrahim tetap menebal.
Ketika ditanya tentang pengalaman kerja dan urutan Perdana Menteri, Ibrahim dapat menjawabnya dengan tepat.
"Saya tak sempat pencen. Pangkat pula hanya prebet dalam askar. Perdana Menteri sekarang Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak.
"Dulu BN, sekarang PH," katanya sambil ketawa.
Terdahulu, Ibrahim menerima kunjungan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, Zulqarnain Zakaria, yang turut menyampaikan sumbangan kepadanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!