Wajib jujur dalam urusan jual beli
ANTARA bentuk muamalat yang diharuskan dalam Islam adalah jual beli. Ia merupakan salah satu wasilah yang diharuskan oleh syarak untuk penjual meraih keuntungan.
ALLAH SWT telah menjelaskan keharusan berjual beli dalam surah al-Baqarah ayat 275.
Apabila ALLAH SWT memberi laluan kepada hamba-Nya untuk menjana keuntungan melalui jual beli, maka perkara yang perlu diambil kira adalah keuntungan itu hendaklah diperoleh dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.
Penjual hendaklah berlaku jujur dan tidak melakukan penipuan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa dia berkata yang maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melalui setompok makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, kemudian tangan baginda menyentuh sesuatu yang basah, lalu baginda bertanya, “Apa ini wahai pemilik makanan?”
Pemiliknya menjawab, “Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Mengapa kamu tidak meletakkannya di bahagian atas makanan agar manusia dapat melihatnya? Ketahuilah, barangsiapa menipu maka dia bukan daripada golongan kami.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa orang yang menipu dalam urusan jual beli adalah golongan yang terkeluar daripada golongannya (iaitu golongan beriman). Penafian itu menunjukkan bahawa perbuatan menipu adalah dilarang dalam Islam dan besar dosanya.
Berkaitan dengan penipuan itu, saya teringat satu iklan jualan buku. Dinyatakan dalam iklan tersebut bahawa harga asal buku-buku yang dijual dalam bentuk 'pakej istimewa' adalah dalam ribuan ringgit tetapi tawaran dibuat dengan harga diskaun iaitu dalam ratusan ringgit.
Memang jika dilihat kepada angka diskaun yang diberi, sudah pasti ramai akan terpengaruh untuk membeli.
Mana tidaknya, jika dinyatakan bahawa harga asal misalnya adalah sebanyak RM8,000 dan diberi diskaun sebanyak RM7,700, siapa yang tidak berasakan betapa murahnya harga buku yang dijual.
Dari segi logik akal, adalah tidak munasabah penjual buku tersebut sanggup memberi diskaun sebanyak itu jika memang benar harga sebenar atau kos sebenar adalah sebanyak itu.
Apatah lagi pada zaman semua orang tengah tersepit dengan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi.
Saya berpandangan bahawa bentuk iklan sebegitu ada unsur penipuan yang dilarang dalam Islam.
Bentuk iklan itu digunakan oleh penjual semata-mata untuk mengelabui mata orang ramai dan mempengaruhi mereka untuk membeli dek murahnya harga buku yang dijual pada harga diskaun jika dibanding dengan harga asal.
Seperti yang telah saya sebutkan, adalah tidak munasabah sama sekali dalam situasi gawat, ada yang sanggup menjual harga semurah itu. Apabila sesuatu itu menyalahi adat kebiasaan, ia pasti mendatangkan kecurigaan.
Kecurigaan itu timbul kerana pada adatnya, orang yang menjual sesuatu pasti akan mahu mengaut keuntungan. Adalah mustahil seorang peniaga sanggup melepaskan keuntungan yang begitu banyak bagi setiap penjualan.
Bayangkan berapa banyak keuntungan yang dilepaskan jika pembelinya ribuan orang juga.
Oleh itu, apabila penjual sanggup menjual dengan harga diskaun yang sangat jauh bezanya dengan harga asal, saya yakin bahawa dengan harga yang kononnya tersangat murah itu pun penjual berkenaan sudah mengaut banyak keuntungan yang berganda-ganda daripada kos sebenar yang ditanggungnya.
Akhir kalam, berlaku jujurlah dalam jual beli agar keuntungan itu bukan sahaja dinikmati di dunia ini tetapi dirasai juga di akhirat nanti. Jangan gunakan agama sebagai alat untuk menipu orang ramai.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!