Mangsa banjir di Kelantan lebih 4,000 orang
KOTA BHARU - Keadaan banjir di Kelantan semakin teruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat melebihi 4,000 orang berbanding 3,019 pada 5 petang Rabu.
Sehingga jam 10 malam, Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan seramai 4,434 penduduk melibatkan lima jajahan ditempatkan di 62 pusat pemindahan sementara (PPS).
Kesemua 1,194 keluarga terjejas itu melibatkan penduduk dari jajahan Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Gua Musang dan Jeli.
Pertambahan jumlah mangsa yang diselamatkan sejak awal pagi Rabu berikutan hujan kadang kala lebat di hulu Kelantan dan menyebabkan limpahan air sungai menenggelami kawasan terlibat.
Mangsa yang paling ramai dipindahkan adalah di Jeli dengan 1,688 melibatkan 491 keluarga berada di sembilan PPS.
Sementara itu, mangsa banjir di Gua Musang juga menunjukkan peningkatan apabila 597 orang (126 keluarga) dihantar ke tujuh PPS berbanding sejumlah 242 mangsa jam 5 petang Rabu.
Peningkatan ketara juga berlaku di Kuala Krai apabila lima lagi PPS dibuka menjadikan sebanyak 28 PPS diaktifkan bagi menempatkan 1,352 mangsa membabitkan 330 keluarga.
Berbanding jam 5 petang tadi, hanya terdapat 839 mangsa dengan 192 keluarga berada di 23 PPS dan jumlah tersebut dijangka bertambah.
Di jajahan Pasir Mas pula, jumlah mangsa turut bertambah kepada 421 orang dengan 140 keluarga kini dipindahkan ke tujuh PPS.
Pada sebelah petangnya, hanya dua PPS dibuka untuk menempatkan 39 mangsa membabitkan 19 keluarga.
Seterusnya di Tanah Merah seramai 375 mangsa terdiri daripada 107 keluarga ditempatkan di 11 PPS.
Sementara itu, berdasarkan portal eBanjir Negeri Kelantan, bacaan paras air di enam sungai utama di negeri ini terus melepasi paras bahaya dan menyaksikan trend meningkat.
Bacaan Sungai Galas di Dabong adalah 40.39 meter (bahaya 38 meter), Sungai Lebir di Tualang pula 36.58 meter (bahaya 35 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai 27.79 meter (bahaya 25 meter).
Selain itu, paras Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard pula adalah 17.49 meter (bahaya 16 meter), Sungai Golok di Jenob kini berada pada bacaan 24.21 meter (bahaya 23.50 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat kepada 10.56 meter (bahaya 9 meter).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!