Vaksin Covid-19: Siapa patut terima dulu?
KITA jelas menyedari impak pandemik Covid-19 terhadap negara. Pelbagai aspek teruk terjejas samada tahap kesihatan pekerja kesihatan dan masyarakat awam, kemelesetan ekonomi, peningkatan masalah mental dan isu jenayah akibat pandemik ini.
Sejarah awal penemuan penyakit berjangkit dan penghasilan vaksin telah dikupas seawal Tamadun Cina, Tamadun Mesir, Tamadun Babylon dan Tamadun Rom. Isunya ialah adakah anda sanggup menerima vaksin ini jika ia dibawa masuk ke Malaysia?
Vaksin Covid-19 dijangka tiba di negara kita sekitar Februari 2021 seperti yang diumumkan kerajaan melalui media massa. Jenama yang bakal digunapakai adalah vaksin Pfizer-BioNTech di mana ia terlebih dahulu menembusi beberapa negara seperti Kanada, Amerika Syarikat, Bahrain, United Kingdom, Saudi Arabia, Mexico dan Singapura sekitar Disember 2020.
Sebagaimana situasi di luar negara, cabaran paling besar mengikut kenyataan dari International Council of Nurses (ICN) di Geneva, Switzerland sekitar awal November 2020 adalah seperti berikut:-
- Kurang kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan masyarakat: Vaksin yang baru diperkenalkan semestinya tiada jaminan 100 peratus tanpa masalah. Pada masa ini, elemen maqasid syariah menyelamatkan nyawa melalui imuniti kelompok ‘herd immunity’ adalah penting.
- Isu aksesibiliti: Bukan semua kelompok masyarakat berkemungkinan menerima vaksin ini. Ini termasuklah golongan pekerja asing atau ekspatriat.
- Isu sosioekonomi: Faktor kewangan dan sokongan sosial berkemungkinan mengekang mereka yang tinggal di kepulauan dan pinggir bandar dalam mendapatkan aksess kepada vaksin.
- Peranan terhad jururawat dalam administrasi vaksin: Jururawat berpengalaman harus terlibat dalam isu pemvaksinan besar-besaran walaupun kuasa autoriti di tangan pihak atasan kementerian kesihatan. Jururawat yang terlatih dalam bidang penyelidikan perlu dilibatkan dalam proses dokumentasi kesan sampingan. Beban tugas mereka mungkin bertambah dengan tekanan sedia ada.
- Isu tentang perawatan holistik: Vaksinasi besar-besaran bukan sekadar memenuhi kehendak dan matlamat kerajaan dalam memastikan capaian sampai ke rakyat. Perawatan holistik terutamanya mengenalpasti kesan sampingan selepas pemvaksinan sangat penting untuk menjaga kebajikan rakyat.
Siapa terawal patut terima vaksin?
Kelompok paling awal yang perlu mendapatkan vaksin ini adalah profesional kesihatan sendiri termasuklah doktor, jururawat, para pegawai kesihatan dan kakitangan sokongan kesihatan kerana mereka berdepan dengan pesakit berisiko tinggi jangkitan Covid-19.
Hasil kajian luar negara menunjukkan, jururawat penyelidikan yang terlibat sebagai sukarelawan kajian oleh Pfizer-BioNTech mampu mengenalpasti beberapa kesan sampingan selepas pemvaksinan dilakukan. Antaranya adalah seperti letih lesu, pening kepala, menggigil, sakit otot, demam dan sakit sendi.
Pengalaman menjadi sukarelawan menerima vaksin ini penting supaya seorang profesional kesihatan mempunyai empati terhadap masalah yang bakal dialami oleh pesakit mereka apabila vaksin diadministrasikan.
Peranan masyarakat
Jika anda perlukan maklumat lanjut tentang vaksin, bercakaplah dengan mereka yang memang pakar dalam bidang vaksin seperti para doktor, pegawai farmasi dan jururawat di hospital atau klinik berhampiran.
Ini amat penting supaya maklumat yang tepat diberikan tentang vaksin Covid-19. Jika suatu hari anda berminat menerima vaksin ini, berilah kerjasama dengan pihak kesihatan dalam melaporkan segala kesan sampingan. Maklumat anda penting untuk penyelidikan lanjutan.
Kita jaga kita!
*** Penulis adalah pensyarah kejururawatan dan Exco Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!