Penyokong Trump mati ditembak ketika serbu bangunan Capitol
WASHINGTON - Seorang penyokong wanita Presiden Amerika Syarikat (AS) mati akibat ditembak dalam bangunan Capitol, Washington ketika keadaan kelam-kabut berlaku disebabkan penyokong Donald Trump melanggar kawalan keselamatan di bangunan tersebut.
Wanita itu meninggal dunia beberapa jam selepas ditembak, kata satu sumber kepada penguat kuasa undang-undang kepada portal berita Daily Mail.
Sekurang-kurangnya satu bahan letupan ditemui berdekatan dengan bangunan tersebut yang menjadi tempat wakil-wakil rakyat AS bersidang.
Kejadian yang berbahaya itu berlaku di bangunan yang menempatkan Dewan Senat dan Dewan Perwakilan AS iaitu tempat anggota-anggota Kongres mengira undi elektoral Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada 3 November tahun lalu.
Pada Disember tahun lalu, keputusan undian sebuah badan pemilih, Kolej Elektoral dilaporkan memihak kepada bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat yang dilaporkan memperoleh 306 undi elektoral berbanding Trump hanya mendapat 232 undi elektoral.
Pada pilihan raya tersebut, Biden juga menang undi popular dengan lebih 80 juta undi berbanding Trump hanya mendapat lebih 73 juta undi.
Biden dijadualkan mengangkat sumpah jawatan Presiden AS yang baharu pada 20 Januari ini di Washington DC.
Selama dua bulan, Trump mendakwa berlaku penipuan undi menyebabkan puluhan anggota Republikan telah merancang membantah keputusan pilihan raya tersebut di beberapa buah negeri.
Ketika kejadian tersebut berlaku, wakil-wakil rakyat sedang berdebat mengenai keputusan Pilihan Raya Presiden di Arizona iaitu negeri yang menyaksikan Trump mengalami kekalahan tipis apabila sesi itu kemudian berhenti rehat ketika polis di bangunan Capitol cuba untuk melaksanakan perintah berkurung.
Biden menang di negeri Arizona dengan lebih 10,000 undi manakala lapan tuntutan undang-undang bagi mencabar keputusan tersebut juga menemui kegagalan.
Perintah berkurung tersebut dilaksanakan ketika para penyokong Trump berhimpun dan menyerbu bangunan Capitol itu sehingga menyebabkan sebahagian wakil rakyat AS terpaksa bersembunyi.
Dalam pada itu, Trump menyatakan dalam satu rakaman video di akaun Twitter, meminta para penyokongnya di bangunan tersebut pulang dalam keadaan aman dan memberitahu bahawa beliau menyokong tuntutan mereka selain menganggapnya sebagai golongan yang amat istimewa.
Kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu sebelum pelantikan Biden sebagai Presiden baharu AS diadakan di tengah-tengah pandemik Covid-19 berlaku di negara berkenaan dan seluruh dunia.
Bekas Presiden AS, George W Bush yang juga daripada parti Republikan berkata dalam satu kenyataan bahawa kejadian tersebut berlaku disebabkan maklumat dan harapan palsu diberikan kepada mereka sekali gus boleh menyebabkan kerosakan besar kepada negara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!