Polis minta penduduk segera pindah jika air naik
KOTA BHARU - Polis Kelantan menggesa penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk segera berpindah sekiranya trend paras air terus meningkat hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, berdasarkan cuaca semasa juga masyarakat terutamanya di kawasan rendah perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Merujuk kepada paras bacaan air terkini, saya menasihatkan penduduk di kawasan yang sering terjejas untuk terus berpindah ke pusat pemindahan sementara yang dibuka di setiap jajahan.
“Lebih baik pindah awal, jangan tunggu arahan pihak berkuasa baru kita nak bertindak. Fikirkan keselamatan ahli keluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu beliau memantau paras sungai di Tambatan Diraja di sini yang berada paras bahaya berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Turut sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Suhaimi Ali; Ketua Polis Balai Kota Bharu, Zamzuri Mat Nawawi dan Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Zulkofli Said.
Dalam pada itu, Shafien turut menasihatkan orang ramai yang melakukan tugas sukarela ketika memindahkan mangsa untuk menjaga keselamatan diri dengan memakai jaket keselamatan ketika berkhidmat.
“Alhamdulillah penduduk di Kelantan ini memang suka membantu antara satu sama lain termasuk juga ketika banjir. Tapi dalam masa sama keselamatan kena utamakan.
“Dalam musim banjir ini, sebarang tragedi boleh berlaku dalam sekelip mata. Saya nasihatkan semua untuk berhati-hati bagi mengelak kejadian meragut nyawa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!