Pasangan didakwa cuba bunuh anggota polis
BUTTERWORTH - Seorang operator kilang dan teman wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Syafiq Mohd Ansari, 30, yang sudah beristeri dan Nurul Fatin Azira Saiful Hadi, 18, didakwa secara bersama cuba membunuh Sarjan Mejar Abdul Wahab Noor di Jalan Soon Ban Kheng di sini kira-kira jam 11.40 malam pada 31 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Hakim Norhayati Mohamad Yunus membenarkan pasangan terbabit diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan dengan mengarahkan mereka melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 15 hari bulan sehingga kes selesai dibicarakan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeya Darrsini dan Muhammad Syafiq diwakili Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri, manakala Nurul Fatin Azira tidak diwakili peguam.
Norhayati kemudian menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, Muhammad Syafiq juga berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Bukit Mertajam pada Khamis atas dakwaan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam iaitu pasukan polis semasa mereka menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia didakwa bersama mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana tidak mematuhi isyarat pegawai polis dalam sekatan jalan raya yang dilakukan.
Bagi kesalahan itu, Muhamad Syafiq boleh dihukum penjara tidak melebihi setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!