RoS tolak permohonan MUDA
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Permohonan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) untuk menubuhkan sebuah parti politik ditolak tanpa sebab oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Muda Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, penolakan pendaftaran parti itu disampaikan melalui satu emel pada Rabu setelah hampir empat bulan menghantar permohonan.
“Kami kecewa dengan penolakan ini. Di pihak Muda, kami telah memberi kerjasama penuh kepada RoS dan mematuhi segala syarat untuk pendaftaran.
“Oleh itu, tiada sebab kukuh untuk RoS menolak pendaftaran kami,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendaftarkan parti baharu itu dengan RoS pada 17 September lalu selain surat peguam berkaitan isu pendaftarannya telah diserahkan pada 21 Disember lepas.
Dalam pada itu, Muda Malaysia berkata, kebebasan berpersatuan dan hak untuk mengambil bahagian dalam proses demokratik negara adalah hak asas setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan.
Namun begitu, katanya, hak tersebut telah dinafikan pihak kerajaan.
“Ini adalah usaha jahat kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghalang kami daripada mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Langkah ini juga melanggar hak berperlembagaan kami untuk membentuk persatuan. Kita menuntut bahawa kerajaan ini bertanding dalam pilihan raya akan datang dengan adil, tulus dan bersih serta tidak menggunakan taktik licik dan kotor,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Muda Malaysia mendakwa, penolakan tersebut juga sehari selepas pembongkaran skandal keluarga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman berhubung projek Transit Aliran Ringan (LRT) Dang Wangi.
Sehubungan itu, bergerak ke depan, Muda Malaysia akan mempertimbangkan segala pilihan yang sedia ada termasuk tindakan mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!