Puteri UMNO hantar sukarelawan pasca banjir

Zahida (dua dari kanan) melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus, Langkap pada Khamis.
Zahida (dua dari kanan) melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus, Langkap pada Khamis.
A
A
A

PASIR SALAK - Puteri UMNO akan mengerahkan ahlinya bagi membantu lebih 20,000 mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan dengan bencana itu.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, lebih 1,000 sukarelawan Puteri UMNO serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dihantar bagi melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

“Kita akan hantar Puteri UMNO sebagai sukarelawan untuk membantu membersihkan rumah mangsa. Setakat ini kerja-kerja itu tidak dimulakan kerana banjir masih belum surut sepenuhnya lagi.

“Pagi tadi kita turut mengadakan perbincangan melibatkan NGO dan mahasiswa untuk bersama menjadi sukarelawan dalam membantu mangsa di semua kawasan yang terkesan banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Chikus, Langkap di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Puteri UMNO kini giat menghantar bantuan berupa keperluan makanan, kelengkapan diri dan bantuan kewangan kepada mangsa terlibat.

“Puteri UMNO bahagian masing-masing telah memainkan peranan seperti di Maran, Pahang; Kuala Krai, Kelantan; Tenggara dan Kota Tinggi, Johor telah bergerak memberi bantuan yang diperlukan.

“Kita harap dengan sumbangan ini sedikit banyak membantu meringankan beban selain berkongsi rasa terutama sokongan moral dengan keadaan mereka yang masih bersedih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!