Jambatan hanyut, penduduk Kampung Temalir putus hubungan
KUALA KRAI - Kira-kira 100 penduduk Kampung Temalir di sini terputus hubungan apabila jambatan yang menjadi nadi kehidupan mereka runtuh dihanyutkan arus deras banjir.
Kejadian itu disedari penduduk pada pagi Khamis apabila mendapati jambatan tersebut hilang dari pandangan mereka ketika mahu menggunakan kemudahan tersebut.
Seorang penduduk, Sabariah Che Kub, 53, berkata, situasi itu menyebabkan penduduk tidak dapat keluar dari kawasan tersebut untuk mendapatkan bekalan makanan.
"Laluan alternatif ada, tapi hanya boleh dilalui oleh kenderaan jenis pacuan empat roda sahaja.
"Bagi penduduk yang tiada kemudahan itu, agak sukarlah untuk mereka keluar. Lagipun keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini boleh mendatangkan risiko kepada penduduk," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurutnya, arus deras mula membadai kawasan Sungai Temalir itu susulan hujan lebat sejak Selasa lalu.
Katanya, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat menghulurkan bantuan segera kepada mereka.
Sinar Harian pada 2 Jun lalu melaporkan lebih 20 penduduk bergotong-royong memperbaiki laluan jambatan Kampung Temalir yang sebelum ini sempit selepas runtuh dihanyutkan arus deras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!