UMNO berdepan protes rakyat jika terus desak PRU15

UMNO berdepan undi protes daripada pengundi sekiranya terus mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat sekali gus boleh memberi keuntungan politik kepada pembangkang.
UMNO berdepan undi protes daripada pengundi sekiranya terus mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat sekali gus boleh memberi keuntungan politik kepada pembangkang.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO berdepan undi protes daripada pengundi sekiranya terus mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat sekali gus boleh memberi keuntungan politik kepada pembangkang.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, namun setakat ini UMNO masih belum mengubah pendirian untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada malam Rabu.

Dr Syed Agil
Dr Syed Agil

Menurutnya, dengan mengambil kira isu kritikal yang berlaku sekarang adalah wajar UMNO menangguhkan dahulu desakan akar umbi parti yang mahu UMNO menarik diri dari gabungan kerajaan PN.

"UMNO pasti tidak mahu mengkhianati harapan rakyat yang mahu melihat negara dalam suasana aman apatah lagi mereka terbelenggu dengan pandemik Covid-19 yang terus meningkat dalam negara.

"Ini juga (mungkin dengan) mengambil kira jumlah penglibatan UMNO dalam perjawatan Kabinet dan GLC kerajaan yang terajui PN," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Terdahulu, UMNO memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan tegang parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 31 Januari.

Artikel Berkaitan:

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dilaporkan berkata, majlis tertinggi telah mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan semua usul yang dikemukakan oleh 189 bahagian parti.

Sementara itu, Bersatu dalam mesyuarat parti itu pula menyifatkan tindakan beberapa pihak yang melakukan percaturan politik ketika rakyat sedang melalui dugaan besar adalah tidak tepat pada masanya.

Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan berkata, Bersatu komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dan bencana banjir ketika ini.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas berakhirnya Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya sini pada Rabu.

Mesyuarat itu diadakan susulan perkembangan terkini politik negara apabila beberapa pemimpin UMNO mengusulkan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan mendesak agar PRU15 diadakan segera.

Ketika ditanya mengenai masa depan hubungan UMNO dan Bersatu, Syed Agil berkata, penolakan akar umbi UMNO terhadap Bersatu menunjukkan ia satu keputusan keras terhadap parti didukung sebilangan besar bekas ahli UMNO dan serpihan parti-parti lain itu.

"Ini bermakna UMNO tidak berbelah bahagi menolak parti yang dianggap bertentangan dengan prinsip fungsi penubuhan UMNO dan dianggap memecah belahkan perpaduan masyarakat Melayu di negara ini.

"Namun saya mengandaikan ia bersifat sementara kerana banyak perkara boleh berlaku sebelum PRU15 yang memungkinkan membentuk strategi pemulihan konflik politik antara kedua-dua parti politik itu," katanya.

Beliau berkata, UMNO juga masih memberi harapan terhadap jalinan kerjasamanya dengan Pas menerusi Muafakat Nasional tetapi dilema Pas pula adalah kerana secara optimisnya menjalin hubungan dengan PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!