79 pelancong terkandas di Taman Negara dibawa keluar

Pelancong yang terkandas di Taman Negara berjaya dibawa keluar.
Pelancong yang terkandas di Taman Negara berjaya dibawa keluar.
A
A
A

JERANTUT - Seramai 79 pelancong yang terkandas di Taman Negara, Jerantut berjaya dibawa keluar pada Rabu.

Operasi menyelamatkan kesemua pelancong yang berakhir pada jam 7 petang itu hasil inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan.

Setiausaha JKKK Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, kesemua pelancong itu mendaftar masuk di empat resort di Taman Negara semasa cuti hujung tahun.

Menurutnya, kebanyakan mereka sepatutnya mendaftar keluar pada 31 Disember lepas, namun paras sungai yang naik mendadak dan melimpah di lima kawasan dalam Taman Negara menyebabkan keadaan tidak selamat untuk mereka menaiki bot untuk keluar.

"Sepanjang terkandas, mereka berada dalam jagaan pengusaha resort masing-masing, namun keadaan semakin buruk apabila banjir berlarutan menyebabkan bekalan bahan mentah semakin berkurangan dan bekalan air bersih mula terputus.

"Inisiatif membawa keluar pelancong itu berikutan keadaan hujan di bahagian hulu berterusan selama enam jam yang akan mengundang risiko banjir lebih buruk," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebahagian pelancong Taman Negara yang dibawa keluar dari lokasi pelancongan tersebut.
Sebahagian pelancong Taman Negara yang dibawa keluar dari lokasi pelancongan tersebut.

Beliau berkata, setakat ini mereka yang masih berada di Kuala Tahan adalah pekerja kontrak membuat kanopi walkway dan pandu bas serta pegawai yang membuat kerja di Felcra.

Artikel Berkaitan:

"Operasi membawa keluar pelancong melalui tiga kawasan yang ditenggelami air di laluan Paya Garok dan Jerantut Feri.

"Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jerantut telah menghantar bantuan anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut bagi tujuan membantu memindahkan pelancong menggunakan bot," katanya.

Katanya, pelancong yang selamat sampai ke Jerantut telah dihantar ke ibu negara melalui bas yang diuruskan oleh pihak hotel.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!