Mayat remaja dilapor hilang ditemui terapung
SETIU - Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di Sungai Kampung Ulu Seladang di sini sejak Ahad lalu ditemui terapung pada pagi Khamis.
Mayat mangsa berusia 17 tahun ditemui tersangkut pada pokok buluh kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai tergelincir oleh pasukan bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.15 pagi.
Pasukan SAR terdiri daripada seramai 19 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu; 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM); 11anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu 20 penduduk kampung berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Zull Azman Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.49 petang Rabu memaklumkan kejadian orang hilang selepas keluar memancing sejak Ahad lalu.
"Kami bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis memaklumkan ada laporan orang hilang dibuat bapa mangsa.
"Menurut bapa mangsa, dia mengetahui anaknya keluar memancing sejak Ahad dan tidak pulang selepas tiga hari. Dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum di bawa ke bilik mayat Hospital Setiu untuk tindakan lanjut kira-kira jam 12.32 tengah hari tadi.
Katanya, bomba berdepan kesukaran membawa keluar mangsa berikutan paras air yang tinggi di samping arus deras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!