Pelepasan air empangan dibuat secara terkawal
SUNGAI SIPUT - Pelepasan air dari empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Perak dilakukan pada kadar selamat dan terkawal.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penduduk sekitar tidak perlu khuatir dengan keadaan itu kerana ia merupakan prosedur biasa selepas berlaku limpahan akibat hujan berterusan.
“Pelepasan air dibuat mengikut apa yang ditentukan pihak penguasa di empangan terlibat khususnya TNB.
“Ia adalah prosedur pelepasan air biasa bukannya seperti tahun 2014 lalu yang mengakibatkan banjir besar di beberapa daerah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena sesi penyerahan surat pelawaan penerima bantuan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB 2020 peringkat negeri Perak di sini pada Khamis.
Menurutnya, limpahan air empangan antara lain bertujuan membenarkan air lebihan dari kolam takungan yang tidak dapat ditampung, mengalir melalui alur limpah secara berterusan.
“Orang awam tidak perlu bimbang dengan keadaan itu kerana secara lazimnya ia dilakukan secara terkawal dengan pemantauan pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial meminta penduduk berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan banjir kilat akibat pelepasan air di empangan hidroelektrik TNB di Sungai Perak.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zolkafly berharap, kerajaan Pusat dapat menyegerakan peruntukan bagi kerja baik pulih kerosakan jalan di negeri-negeri yang terjejas banjir.
Katanya, di Perak setakat ini hanya dua jalan yang ditutup sepenuhnya akibat banjir iaitu Jalan Tali Air-Chikus di Hilir Perak dan Jalan Bukit Larut di Taiping akibat cerun dan tanah runtuh.
“Ada antara laluan ini mengalami kerosakan teruk dan perlu dibaiki segera bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!