Ilmu kesihatan, senaman penting

KEVIN ZAHRI
KEVIN ZAHRI
A
A
A

SHAH ALAM - Kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan dan kecergasan dilihat memberi impak positif kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas.

Kefahaman dan kesedaran dalam menjaga kesihatan agar kekal sihat menjadi faktor utama mengapa ramai yang mula mencari ruang untuk bersenam.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Obesiti Dewasa dan Kanak-Kanak Malaysia, Kevin Zahri, ramai individu melakukan senaman secara membuta tuli tanpa mencari ilmu terlebih dahulu.

“Hasilnya, mereka hanya melakukan aktiviti yang sia-sia, tanpa faedah dan membuang masa. Mereka yang mahu bersenam perlu mendapatkan ilmu terlebih dahulu dan bukannya mengikut membuta tuli.

“Sebagai contoh dalam program kesihatan Jom Kurus yang kita anjurkan banyak berkongsi tips berguna kepada peserta. Pengajaran hari pertama yang ditekankan ialah peserta jangan ikut membuta program yang dianjurkan.

“Dalam soal kesihatan juga, kita perlu bersederhana, jangan terlalu memaksa diri. Begitu juga dalam pemakanan, gaya hidup, kesihatan mental, kerohanian dan sebagainya. Sebab itu ilmu itu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran siri ke 57 bertajuk ‘Bina Jiwa dan Jasad Sihat’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program itu turut menampilkan Kaunselor Institut Jantung Negara (IJN), Ustaz Mohd Khairil Anwar selaku panelis sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan turut ditemani qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah An-Nahl ayat 97.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Fitness Malaysia berkata, pengawalan pemakanan juga penting bagi menjadikan tubuh seseorang itu ideal dan mudah menjalankan pelbagai aktiviti terutama senaman yang mampu menyihatkan badan.

“Tanggungjawab menjaga kesihatan adalah diri sendiri, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ini kerana masyarakat kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan kurang melakukan senaman.

“Kita tidak nafikan makanan ini adalah sumber tenaga seseorang tetapi jika tidak dikawal dengan baik, ia akan memberi kesan buruk kepada individu terbabit.

“Sebab itu, saya sering tekankan kepada peserta program bahawa makanan itu bukan satu masalah sebaliknya satu kurniaan tetapi sering disalah gunakan sehingga menjadi masalah kepada kesihatan diri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai sentiasa positif supaya dapat mengurangkan tekanan yang dialami.

“Tak dinafikan semua orang berdepan dengan tekanan sama ada kecil atau besar tetapi ia boleh dikurangkan sekiranya kita sentiasa berfikiran positif dan dekatkan diri dengan individu yang positif.

“Bagi mereka yang berazam untuk memperbaiki kesihatan, pasangkan niat yang positif terlebih dahulu. Fokus bukan untuk kurus semata-mata tetapi kepada kesihatan mental dan fizikal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!