Serius atasi isu guru duka lara

 Normala Sudirman
Normala Sudirman
A
A
A

KLUANG - Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menggesa Kementerian Pendidikan lebih serius mengatasi kemelut isu permohonan pertukaran guru atau isu guru duka lara.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga perlu mempertimbangkan permohonan pertukaran guru ini secara holistik atas pertimbangan kemanusiaan dan bukannya sekadar melihat hujah di atas kertas sahaja.

“Statistik menunjukkan kes pasangan warga pendidik yang bercerai akibat jarak dan tempoh berjauhan antara pasangan menjadi salah satu faktor penyumbang berlakunya kes perceraian kerana pudar kasih sayang sehingga menyebabkan kecurangan mudah berlaku.

“Menjalani hidup secara berasingan sehingga bertahun lamanya walaupun bergelar suami isteri akan menjejaskan emosi dan boleh menyebabkan berlaku kemurungan sekali gus mengganggu fokus guru dalam mendidik anak bangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Normala berkata, selain itu faktor kos sara hidup dan menjaga anak-anak bagi guru wanita yang terpisah jauh daripada suami juga cukup menguji kesabaran sekiranya tidak mendapat sokongan dari rakan seperguruan, majikan, keluarga dan ibu bapa.

Katanya, satu mekanisme berkaitan isu ‘guru duka lara’ ini mesti diambil bagi memastikan penempatan guru di Malaysia dapat diatasi dengan sebaik mungkin dan bersesuaian dengan keadaan semasa di sesebuah negeri.

“Walaupun alasan kementerian menyatakan opsyen berbeza, permohonan anak tempatan balik ke negeri pantai timur atau pantai barat terlalu banyak, namun persoalannya bagaimana dengan isu permohonan pertukaran guru di Semenanjung pula?

“Permohonan kelulusan pertukaran 2,245 guru, baru-baru ini juga cukup mendukacitakan kerana terdapat kira-kira 23,000 permohonan dan kami mendesak isu ini diatasi secara lebih serius dan bukannya sekadar retorik politik semata-mata,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kementerian digesa menjadikan kursus kesihatan mental atau pengurusan stres sebagai program yang wajib dihadiri oleh semua warga pendidik di Malaysia untuk memastikan emosi mereka stabil kerana dalam mendidik anak bangsa.

“Kita mahu kebajikan warga pendidik ini terbela kerana apabila emosi seseorang guru itu stabil, maka dengan sendirinya generasi pelapis dan masa depan anak didik di Malaysia akan dibela.

“Kami berharap guru-guru dan semua penjawat awam diberikan hak yang sewajarnya bagi mengurangkan beban dan tekanan emosi masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!