Desak PRU disegerakan alasan ahli politik tamak kuasa: Bersih 2.0

Thomas Fann
Thomas Fann
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Thomas Fann menyifatkan desakan agar Pilihan Raya Umum (PRU) disegerakan untuk mengembalikan kestabilan politik hanya satu ilusi dan alasan ahli politik tamak untuk merebut kuasa.

Thomas berkata, keputusan pilihan raya tidak mungkin mengembalikan kestabilan politik memandangkan ketiadaan undang-undang untuk menghalang melompat parti dan insentif untuk melompat masih ada.

"Kecuali jika semua parti politik memberikan komitmen untuk mengambil langkah-langkah mencegah berlakunya lompat parti.

"Perlu juga diadakan reformasi amalan peruntukan dana pembangunan yang tidak setara, memastikan kesamarataan dalam undang-undang dengan mengakhiri pendakwaan terpilih dan menghadkan bilangan menteri dan timbalan menteri yang dilantik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Thomas berkata, pembangkang dan penyokong mereka perlu diberikan peranan seadilnya di Parlimen bagi mengelakkan fenomena melompat parti dan kejatuhan kerajaan berterusan.

Menurutnya, perkara itu menjadi salah satu sebab mengapa langkah untuk mengadakan PRU sekarang adalah idea yang tidak baik.

Katanya, sebab seterusnya adalah kerana penularan pandemik Covid-19 masih belum terkawal dan dan peristiwa besar seperti PRU dijangka akan menyebabkan berlaku lonjakan kes jangkitan semasa.

"Banyak nyawa akan hilang dan pemulihan ekonomi menjadi mustahil dalam jangka pendek hingga sederhana.

Artikel Berkaitan:

"Tidak seperti Pilihan Raya Kecil (PRK), PRU diadakan di seluruh negara yang melibatkan mobilisasi ratusan ribu orang seperti pekerja pilihan raya, pekerja parti, pemerhati, pekerja kesihatan dan pengundi," katanya.

Thomas berkata, satu lagi faktor kerana kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam pencegahan jangkitan Covid-19.

Katanya, kerajaan akan terbeban dalam usaha mengurangkan kadar jangkitan ketika proses pemilihan diadakan selain membahayakan nyawa ribuan pekerja pilihan raya dan kesihatan.

Ahad lalu UMNO dilaporkan mendesak agar PRU ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!