Ibarat tsunami, banjir paling buruk di Maran

Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditenggelami banjir selepas hujan lebat turun lebih tiga hari ketika tinjauan udara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini. Foto Bernama
Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditenggelami banjir selepas hujan lebat turun lebih tiga hari ketika tinjauan udara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MARAN - Ibarat tsunami. Itu antara ungkapan rata-rata penduduk di Taman Maran Jaya, di sini, apabila rumah mereka mengalami kerosakan dan dipenuhi lumpur susulan dilanda banjir teruk pada Ahad lepas.

Aini Shamsudin, 57, berkata, beliau sama sekali tidak pernah menjangkakan air akan naik sehingga ke paras bumbung rumah dan menenggelamkan segala kelengkapan miliknya di rumah teres satu tingkat itu.

Ibu kepada empat anak itu berkata kejadian seumpama itu merupakan yang pertama sejak beliau menetap di kawasan perumahan berkenaan 20 tahun lepas.

“Kami sudah biasa dengan banjir, boleh dikatakan tujuh tahun sekali pasti akan jadi banjir besar tetapi belum pernah air naik mencecah sehingga ke bumbung rumah, ini baru pertama kali.

“Ketika kejadian saya di kampung dan bergegas untuk pulang pada hari yang sama tetapi terkandas kerana jalan tutup...bila tiba di rumah ia seolah-olah berlaku tsunami kecil,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohammad Hanif Mohd Nazam, 26, berkata, banjir mula pulih pada Isnin petang, namun keadaan rumah yang diselaputi lumpur menyukarkan mereka untuk membersihkan rumah.

“Lumpur sangat tebal mencecah buku lali saya, kerja-kerja membersih sudah tentu mengambil masa, cuma kami kini bimbang air naik semula sebab masih hujan di kawasan ini,” kata anggota polis itu.

Bagi pesara, Mohamad Nasik Deraman, 62, mesin basuh miliknya dihanyutkan arus kira-kira satu kilometer dari rumah dan beliau hanya sempat menyelamatkan kereta dan sebuah motosikalnya pada hari kejadian.

Artikel Berkaitan:

“Banjir terburuk yang pernah saya alami pada tahun 2014, iaitu air hanya setakat pinggang saya yang mempunyai ketinggian 178 cm, tetapi kali ini sehingga paras bumbung, memang kami tak sangka langsung,” katanya.

Taman Maran Jaya yang dihuni 1,300 orang daripada 302 keluarga itu antara lokasi dilanda banjir buruk di negeri ini dan tinjauan Bernama mendapati penduduk di kawasan itu sedang membersihkan kediaman masing-masing dengan mengalihkan barang-barang rosak dibantu rakan sekerja dan keluarga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!