Kota Bharu dijangka dilanda banjir malam ini
RANTAU PANJANG - Lebih 1,000 penduduk yang tinggal di kawasan rendah di Kota Bharu bakal berdepan ancaman banjir susulan limpahan air Sungai Kelantan yang dijangka bermula pada malam Khamis.
Antara kawasan yang dijangka menerima limpahan air Sungai Kelantan itu ialah Kampung Penambang, Badang, Kedai Buloh dan Tikat.
Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Kampung Laut di Tumpat bakal berdepan situasi berkenaan terlebih dahulu.
"Nasihat kami agar penduduk di kawasan berkenaan supaya bersiap sedia dan waspada untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika keadaan menjadi lebih teruk," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurutnya, walaupun tiada rekod PPS dibuka di Kota Bharu pada saat ini, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil.
Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berkata, pihaknya bimbang air yang turun dari hulu Kelantan (Kuala Krai) menyebabkan paras air naik mendadak dengan cepat.
Zainuddin berkata, bagaimanapun keadaan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan berharap tidak berlaku kenaikan air di jajahan itu.
Sementara itu, menurut infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Kelantan di Jeti Kastam dan Tambatan Di Raja, Kota Bharu, masing-masing mencatatkan bacaan 5.34 meter dan 5.15 meter iaitu melebihi paras bahaya dengan menunjukkan trend menaik, manakala Sungai Golok di Rantau Panjang juga melebihi paras bahaya dengan mencatat bacaan 10.69 meter (bahaya 9 meter).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!