Banjir teruk bukan sebab pembalakan tetapi hujan lebat: MB Kelantan

Ahmad (dua dari kiri) bertanya khabar mangsa yang ditempatkan di PPS SK Lawang pada Khamis.
Ahmad (dua dari kiri) bertanya khabar mangsa yang ditempatkan di PPS SK Lawang pada Khamis.
A
A
A

TANAH MERAH - Kerajaan Kelantan menjelaskan pembalakan mahupun penerokaan hutan bukan menjadi punca utama berlakunya banjir gelombang ketiga di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebaliknya banjir yang melanda negeri ini disebabkan taburan hujan lebat berikutan monsun timur laut.

“Negeri lain pun serupa juga, Pahang pun banjir, Johor pun banjir dan Terengganu pun banjir, sekarang banjir singgah di Kelantan.

“(Di Kelantan) memang hujan lebat, sebab itu banjir. Nak kata tak buat kerja semua buat kerja, semua negeri buat kerja sebab nak dapatkan hasil. Hasil pun kita tak ambil semua,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Terdahulu, Ahmad mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang di sini yang menempatkan 68 mangsa terdiri daripada 28 keluarga dari tiga kampung sekitar.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nazran Muhammad dan Ketua Jajahan Tanah Merah, Mohd Anis Hussein.

Dalam isu banjir, Ahmad meminta semua pihak tidak menuding jari menyalahkan kerajaan Kelantan dengan mengaitkannya dengan isu penerokaan hutan.

Dalam pada itu, Ahmad turut menasihatkan rakyat di negeri ini untuk berpindah awal berikutan trend air sungai meningkat demi keselamatan semua.

Artikel Berkaitan:

“Saya nasihatkan mereka berada di kawasan berisiko untuk berpindah sebelum Maghrib untuk memudahkan urusan pemindahan.

“Terus ke PPS jika diarahkan pihak berkuasa, jangan banyak soal sebab sebarang kemungkinan boleh berlaku. Bawa barang penting sahaja,” katanya.

Selain itu, Ahmad juga mahu rakyat tidak menyalahkan ketegasan pihak berkuasa yang mengenakan saman jika masih sengaja mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang banjir.

“Selain bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan banjir, kita juga bimbang berlakunya penularan Covid-19. Sebab itu, saya minta rakyat terus utamakan SOP,” katanya.

Pada Khamis, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kompaun kepada individu yang didapati sengaja berkumpul tanpa mengamalkan penjarakkan fizikal dan tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di kawasan terlibat banjir.

Tiada lagi amaran yang akan diberikan, sebaliknya kompaun sebanyak RM1,000 akan terus dikenakan kepada yang tidak mematuhi SOP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!