Suasana pilu iringi pengebumian tiga sekeluarga
Suasana pilu mengiringi pengebumian jenazah Mad Ramli Ibrahim, 65, bersama dua cucunya iaitu Nur Safia Hafiza Samsudin, 16, dan Nur Sariza Hafniza Samsudin,14.
Sebelum itu ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Jamiul Khir Tong Pelu, Pedu bersama kira-kira 500 penduduk kampung.
ARTIKEL BERKAITAN: Lemas: Seorang meninggal, dua lagi hilang
Pada jam 1.45 petang semalam, empat mangsa telah dibawa oleh arus Sungai Pedu di Rumah Pam, Kampung Bukit Sena, namun seorang dari mereka, Anis Umairah Mohd Ismail berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
Mangsa pertama, Nur Sariza ditemui pada jam 2.26 petang diikuti kakaknya, Safia Hafiza pada jam 4.36 petang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, jenazah Mad Ramli pula ditemui pada jam 5.22 petang dalam radius 100 meter dari tempat mereka dilihat lemas.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku berpunca dari arus sungai yang deras itu selepas pintu empangan dibuka.
Pihak Bomba terpaksa meminta kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk menutup pintu empangan pada pukul 3 petang untuk operasi pencarian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!