Gunung Baling terbakar: operasi memadam diteruskan
ALOR SETAR - Operasi memadamkan kebakaran di Gunung Baling, Baling yang terbakar sejak petang Rabu lepas diteruskan hari ini dengan kaedah ‘water bombing’ yang dilakukan menggunakan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, sehingga kini sebanyak tujuh atau lapan beg 'water bombing' telah dilepaskan dari udara ke lokasi kebakaran di gunung itu.
"Operasi bermula 8 pagi tadi dan keadaan cuaca pagi ini agak baik. Tetapi menjelang tengah hari nanti kita bimbang cuaca akan kembali panas, jadi kita akan cuba untuk padamkan kawasan yang masih terbakar dan helikopter akan cuba memadam tiga lagi titik kebakaran besar yang dikesan.
"Setakat ini, pemadaman di puncak gunung telah selesai. Anggota kita yang menggunakan jalan darat turut membawa beg berisi air bagi melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan kebakaran yang kecil," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini yang turut dibantu lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa lain selain turut mendapat bantuan malim gunung.
Katanya, pihak operasi JBPM negeri Kedah juga telah mengorek dua punca air berdekatan lokasi kejadian semalam bagi memudahkan kerja-kerja pengambilan air dilakukan.
“Terdapat dua tempat bagi pengambilan air iaitu di sebuah kolam bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan sebatang sungai berdekatan tempat kejadian di mana jarak antara tempat pengambilan air dengan kawasan kebakaran sekitar empat hingga lima kilometer,” katanya.
Semalam, pihak bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan kawasan seluas lebih 2.8 hektar di Gunung Baling berikutan keadaan cuaca panas dan angin kencang.
Punca kebakaran itu belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!