'Perabot banjir' semurah RM10 dilelong di Kota Tinggi

Dua pekerja kedai perabot dan elektrik mengangkut barang-barang kotor untuk dibersihkan selepas banjir yang melanda kawasan bandar itu sejak Sabtu lepas surut sepenuhnya pada Rabu. - Foto Bernama
Dua pekerja kedai perabot dan elektrik mengangkut barang-barang kotor untuk dibersihkan selepas banjir yang melanda kawasan bandar itu sejak Sabtu lepas surut sepenuhnya pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Banjir yang melanda daerah ini memaksa peniaga perabot melelong pelbagai barangan isi rumah dan perabot dengan harga murah serendah RM10.

Seorang peniaga, Eng Nyok Peng, 52, berkata, langkah itu terpaksa diambil kerana rata-rata perabot di premisnya di sini ditelenggami banjir susulan hujan lebat sejak Jumaat lepas.

“Saya tiada pilihan lain....daripada tidak dapat apa-apa (rugi), baiklah barangan ini dijual dengan harga murah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Katanya, disebabkan banjir, banyak barangan perniagaannya terjejas hingga mengakibatkan kerugian antara RM70,000 hingga RM80,000.

Menurut Eng, antara perabot yang dilelong murah di premisnya termasuk kerusi, katil, almari kasut, almari baju dan rak televisyen.

“Saya jual murah...RM10 ada, RM50 ada dan lain-lain. Mungkin sampai sebulan saya akan jual barang-barang ini (dengan harga diskaun),” kata Eng yang sudah sembilan tahun berniaga di bandar itu.

Dua pekerja sebuah kedai perabot di Kota Tinggi membersihkan sisa-sisa air dan lumpur selepas banjir yang melanda kawasan bandar itu sejak Sabtu lepas surut sepenuhnya pada Rabu. - Foto Bernama
Dua pekerja sebuah kedai perabot di Kota Tinggi membersihkan sisa-sisa air dan lumpur selepas banjir yang melanda kawasan bandar itu sejak Sabtu lepas surut sepenuhnya pada Rabu. - Foto Bernama

Seorang pengunjung, Rizuan Mat Seman, 25, berkata, beliau teruja untuk membeli ‘perabot banjir’ yang dilelong itu, sekiranya harganya berpatutan dan kerosakannya tidak teruk.

Artikel Berkaitan:

"Saya datang untuk tengok-tengok dahulu mana barangan yang masih boleh dipakai. Harga di sini pun murah dan berpatutan jadi saya sedikit teruja," katanya yang mendapat tahu mengenai jualan terbabit daripada media sosial dan rakan-rakan.

Bagi Noratikah Zahid, 31, pula jualan lelong itu merupakan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan perabot baharu, terutama selepas kediaman masing-masing turut dilanda banjir.

"Rumah kami turut dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa perabot rosak. Jadi apabila ada jualan murah seperti ini, dapatlah kami ganti mana yang patut," katanya yang juga menjalankan perniagaan bersama ibunya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat bandar ini turut mendapati peniaga sedang rancak membersihkan premis mereka daripada kesan lumpur akibat banjir sebelum memulakan kembali operasi perniagaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!