Rantau Panjang lumpuh ditenggelami banjir
RANTAU PANJANG - Zon bebas cukai yang merupakan 'nadi' Rantau Panjang 'mati' apabila ditenggelami banjir.
Ia susulan limpahan air Sungai Golok yang masuk ke pekan berkenaan selepas hujan lebat tanpa henti sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Persatuan Perniagaan Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah berkata, air mula melimpah masuk ke kawasan zon bebas cukai itu sejak Rabu.
"Hari ini boleh dikatakan zon bebas cukai Rantau Panjang lumpuh sepenuhnya selepas ditenggelami banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, air naik dengan begitu cepat pada banjir kali ini.
Katanya, bagaimanapun rata-rata peniaga sudah membuat persiapan awal untuk menghadapi musibah itu.
Ramli berkata, melihat kepada situasi itu pihaknya menjangkakan peniaga akan 'bercuti' selama lima hari.
Tinjauan Sinar Harian mendapati laluan masuk ke pekan berkenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja susulan limpahan air Sungai Golok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!