Covid-19 lebih penting, bukan tarikh PRU15
ALOR SETAR - Isu Covid-19 yang masih belum reda ketika ini sepatutnya lebih diberi tumpuan berbanding tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Awang Hashim berkata, segelintir pemimpin sewajarnya memikirkan krisis mana yang harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa cadangan terutama dalam tempoh sukar ketika ini.
"Sekarang ini mana yang lebih penting? Pilihan raya atau Covid-19? Saya minta semua pihak berfikir kerana kita menghadapi musuh yang kita tidak kelihatan, kalau musuh yang kita nampak senang, fizikalnya ada senang, (kita tahu) bila dia nak tamatkan Covid-19 yang melanda negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kedah di sini pada Jumaat.
Menurutnya, tarikh yang paling sesuai untuk diadakan PRU-15 adalah ketika tamatnya tempoh penggal bagi pilihan raya lepas iaitu selama lima tahun sejak 9 Mei 2018.
"PRU15 tak ada tarikh penyesuaian, sebab tarikhnya lima tahun sekali.Paling sesuai sekali bila tamat tempoh dari tarikh 9 Mei 2018, Lepas tu ada buffer dua bulan, 60 hari, semua tarikh ni (selepas tamat penggal) sesuai", katanya.
Sebelum ini,Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Katanya, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!