HSR: Kenyataan Dr Mahathir tidak bertanggungjawab
PASIR GUDANG - Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan baru-baru ini bukan satu projek penting disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berpendapat, Dr Mahathir tidak seharusnya membuat keputusan simplistik seperti itu kerana projek berkenaan membawa manfaat besar untuk jangka panjang terutama pembangunan negara.
"Jangan kerana projek ini dilakukan semasa zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan diteruskan zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) maka projek ini tidak baik. Jangan kerana tak setuju Najib dan PN maka projek ini salah.
"Kalau tidak baik dan tidak bersetuju kenapa semasa beliau (Dr Mahathir) menjadi Perdana Menteri projek ini tidak dihentikan malah rundingan diteruskan termasuk pampasan RM45 juta dibayar. Jika tidak bersetuju maknanya beliau pun salah.
"Jika tidak setuju kerana projek ini melibatkan kroni-kroni yang dapat tetapi kita kena akui projek ini bagus," katanya pada sidang akhbar selepas Program Balik Ke Sekolah Parlimen Pasir Gudang di Pasaraya Borong Sakan Masai di sini pada Jumaat.
Pada Khamis, Dr Mahathir berkata, projek HSR itu bukan satu projek penting disebabkan negara masih boleh menunggu sekurang-kurangnya 20 tahun lagi untuk diadakan projek seperti itu selain masa yang hanya dapat dijimatkan sekitar 15 minit sahaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Projek HSR bukan penting, kata Dr Mahathir
Hassan berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu menghormati perjanjian projek itu yang dilakukan kerajaan terdahulu termasuk mematuhi semua syarat telah dipersetujui antara kedua-dua negara.
Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, ini termasuk dalam soal tender yang ditetapkan dalam perjanjian dan apabila projek HSR dibatalkan, Muhyiddin perlu menjawab dakwaan menyatakan Malaysia tidak mahu tender secara terbuka.
"Jadi apa sebenarnya kerajaan (PN) sekarang ini, nak ke kontrak projek itu dilakukan tanpa sebarang perbincangan atau tender tidak terbuka, ini akan membawa kepada masalah rasuah.
"Kita kena menghormati perjanjian yang sudah ditandatangani. Ini melibatkan perjanjian antarabangsa, kalau kita nak ubah jajaran atau transit untuk projek ini boleh dibincangkan tetapi jangan sampai dibatalkan," katanya.
Menurutnya, apabila Malaysia membatalkan keputusan tersebut hanya kerana alasan itu, maka masyarakat antarabangsa terutama yang mahu melabur tidak mahu lagi berurusan pada masa depan sekali gus memberi kesan negatif kepada negara.
Katanya, jika projek HSR mahu diteruskan juga tetapi hanya setakat berhenti di Bukit Chagar di sini dan bukan Singapura, ini akan merugikan kerana kemungkinan tiada penumpang tempatan akan menggunakannya.
Justeru katanya, kerajaan perlu faham dan mengkaji manfaat yang bakal diperoleh termasuk impak terhadap projek Bandar Malaysia yang boleh dihubungkan melalui projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura.
ARTIKEL BERKAITAN: Najib bidas Tun M anggap HSR tidak penting
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!