Vinales catat masa terpantas
PELUMBA Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales mempamerkan tunggangan bertenaga hanya beberapa minit sebelum sesi hari kedua ujian pra-musim sejuk Kejuaraan MotoGP 2019 berakhir untuk mencatat masa sepusingan terpantas, di sini.
Pada sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, pelumba Sepanyol berkenaan mencatat masa terpantas satu minit 58.897 saat, di pusingan kedua terakhir daripada 63 pusingan dilakukannya semalam.
Berikutan catatan masa itu, beliau mengatasi rakan senegara Alex Rins daripada Team Suzuki Ecstar yang sebelum itu mendahului kelompok pelumba dalam sesi tersebut selepas mencatat masa terpantas 1:59.424s, hanya ketinggalan 0.527s di belakang Vinales.
Pelumba Australia, Jack Miller daripada Alma Pramac Racing di kedudukan ketiga dengan catatan 1:59.517 saat.
Sementara rakan sepasukan Vinales, juara dunia tujuh kali kelas utama kejuaraan berkenaan, Valentino Rossi dari Itali ketinggalan 0.728 saat di belakang beliau untuk mencatat masa keenam terpantas pada sesi semalam.
Dalam pada itu, pelumba MotoGP milik Malaysia, Petronas Yamaha SRT, menampilkan aksi membanggakan apabila Fabio Quartararo dari Perancis, yang membuat penampilan sulung dalam kelas utama musim ini, dan pelumba Itali Franco Morbidelli, berada di kedudukan ke-14 dan 15 selepas masing-masing mencatat 2:00.108s dan 2:00.151s.
Pelumba MotoGP tunggal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili Red Bull KTM Tech 3 pula merekodkan masa 2:01.859s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!