Polis siasat anggota trafik tumbuk penunggang motosikal

Polis menyiasat seorang anggotanya yang dikatakan menumbuk seorang penunggang motosikal semasa ditahan di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya pada Jumaat.
Polis menyiasat seorang anggotanya yang dikatakan menumbuk seorang penunggang motosikal semasa ditahan di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menyiasat anggotanya yang dipercayai bertindak menumbuk seorang penunggang motosikal ketika ditahan di Lebuhraya Persekutuan, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, setakat ini penunggang terbabit masih belum tampil membuat laporan polis.

"Polis bagaimanapun telah mengenal pasti penunggang itu dan sedang mengesannya untuk membantu siasatan.

"Namun begitu, kertas inkuiri polis telah pun dibuka dan siasatan ke atas anggota terbabit sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee menjelaskan, siasatan mendapati kejadian itu berlaku semasa operasi sekatan jalan raya yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggotanya bermula jam 8 pagi.

Menurutnya, semasa hendak ditahan, sebuah motosikal yang ditunggang sepasang suami isteri itu cuba melarikan diri hingga melanggar kaki salah seorang anggota polis di situ.

"Penunggang itu bagaimanapun berjaya ditahan dan dikenakan saman atas kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

"Semakan juga mendapati penunggang terbabit memiliki 58 saman atas pelbagai kesalahan trafik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pihaknya berpendirian tegas dan konsisten termasuk melibatkan salah laku pegawai dan anggota.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 38 saat menunjukkan seorang anggota polis trafik menumbuk seorang penunggang motosikal selepas ditahan di lokasi terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!