Penganggur didakwa rogol, cederakan muka kekasih
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol dan mencederakan muka serta anggota badan teman wanitanya, minggu lepas.
P Guna Silan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.
Lelaki itu dituduh merogol pembantu perawatan kesihatan berusia 41 tahun mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata ke atas mangsa pada bahagian muka serta anggota badan mengikut Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu dituduh melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah bilik hotel di Jalan Pudu Ulu, Off Jalan Cheras, di sini, pada 3 pagi, 30 Disember tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kedua-dua pertuduhan adalah serius manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan kerana tiada penjamin yang hadir ke mahkamah.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 10 Februari untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!