Kena profesional jangan emosi
PEMAIN pasukan negeri atau kelab saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 dinasihatkan agar lebih profesional dan tidak terlalu mengikut emosi ketika berlaku sesuatu perkara di dalam padang semasa perlawanan.
Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Amir Sharifuddin Wong berkata, dalam era bola sepak profesional pemain sesebuah pasukan atau kelab seharusnya memahami undang-undang permainan supaya mengetahui hak dan larangan sebagai seorang pemain.
"Pemain baik pemain tuan rumah atau pelawat, seharusnya mereka ini bertindak secara profesional dan bukan mengikut perasaan jika berlaku sesuatu isu semasa aksi berlangsung. Serah kepada pengadil untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan disiplin sesuai tanpa gangguan atau desakan dari pemain.
"Saya sarankan kepada pengurusan pasukan atau kelab supaya berikan penekanan kepada pemain masing-masing aspek 'laws of the game' ketika membuat persediaan 'pre-season' yang sepatutnya meliputi slot pendedahan kepada pengetahuan undang-undang perlawanan agar pemain bukan sahaja bermain dengan baik tetapi juga bertindak secara bijak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas aksi keras yang dipamerkan beberapa pemain dalam perlawanan pertama saingan Liga-M minggu lalu.
Ditanya mengenai peranan yang boleh dimainkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memastikan prestasi terbaik berterusan daripada pengadil yang mengendalikan sesuatu perlawanan agar kesilapan sama tidak berulang atau berlarutan.
Amir berkata, jawatankuasa pengadil FAM boleh mengambil langkah awal dengan menjalankan analisis video bersama penilai pengadil yang bertugas apabila terdapat isu-isu mengenai kesilapan atau kemusykilan pengadil di dalam sesuatu perlawanan.
Menurutnya, dengan cara ini secara tidak langsung dapat mengenalpasti punca masalah awal seterusnya mengambil langkah proaktif memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan dengan memberikan nasihat atau panduan terus kepada pengadil.
"Ini adalah di antara langkah penting dalam memastikan penambahbaikan berterusan dalam semua aspek ketika berlaku masalah yang dikenalpasti dan bukan menunggu sehingga akhir musim untuk membuat post mortem. Penilaian formatif dan sumatif adalah dua aspek penting dalam pengurusan dan pembangunan pengadilan," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai pelantikan pengadil baharu, beliau percaya FAM lebih arif untuk memilih dan melantik pengadil terbaik untuk mengendalikan sesuatu perlawanan.
"Liga Super dan Premier bukan medan untuk mencuba pengadil baharu tetapi melantik pengadil terbaik yang telah membuktikan kemampuannya pada musim lalu," katanya yang tidak sabar melihat pengadil tempatan dididik dan dilantik sebagai pengadil profesional dalam Liga-M.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!