Jangan beli alatan komunikasi tidak berdaftar: SKMM

MCMC
MCMC
A
A
A

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai agar tidak membeli sebarang alatan komunikasi tidak diperakui seperti 'booster' atau 'repeater cellular' (CBR) daripada sumber tidak berdaftar.

SKMM dalam satu kenyataannya berkata, pengguna sebaliknya perlu mendapatkan alatan tersebut daripada syarikat penyedia perkhidmatan selular yang sah.

“SKMM telah mengesan peningkatan kes gangguan spektrum yang melibatkan penggunaan 'booster' atau CBR yang tidak mematuhi piawaian.

“Penggunaan alatan CBR oleh orang ramai dan syarikat penyedia perkhidmatan secara berleluasa serta tidak teratur akan menyebabkan gangguan terhadap kualiti rangkaian selular dan jalur lebar mudah alih,” katanya pada Sabtu.

Justeru kata kenyataan itu, bagi membendung masalah ini, SKMM mengeluarkan Garis Panduan Pembelian, Penggunaan dan Pemilikan Booster atau Repeater Selular yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.

“Kegagalan mematuhi garis panduan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Peraturan 16 di bawah Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai yang menghadapi masalah liputan dinasihatkan membuat aduan kepada syarikat penyedia perkhidmatan mereka melalui saluran rasmi yang disediakan.

"Sekiranya masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian oleh syarikat penyedia perkhidmatan, mereka boleh mengajukan aduan kepada SKMM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!