Mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 4,143 orang
KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan sedikit menurun pada Sabtu berbanding malam tadi, namun angka penduduk yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) masih melebihi 4,000 orang.
Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 10 pagi ini seramai 4,143 mangsa masih berada di PPS berbanding 4,798 mangsa pada jam 9 malam Jumaat.
Kesemua 1,238 keluarga berkenaan membabitkan mangsa dari Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang, Jeli dan Tanah Merah.
Berbanding malam Jumaat juga, sebanyak tujuh PPS daripada 60 PPS sebelum ini sudah ditutup manakala 53 masih lagi beroperasi.
Keadaan cuaca di Kelantan pada Sabtu kelihatan mendung yang mana sekali sekala hujan dan beberapa paras sungai utama juga menunjukkan sedikit penurunan.
Bagaimanapun, mangsa di Kuala Krai masih mencatatkan jumlah paling ramai dengan 1,948 mangsa melibatkan 516 keluarga masih ditempatkan di 23 PPS.
Di jajahan sama, bermula jam 10 malam pada Jumaat enam PPS sudah ditutup dan 23 masih lagi diaktifkan.
Sementara itu, di Kota Bharu yang merupakan lokasi terbaharu dilanda banjir bermula malam Jumaat juga menunjukkan sedikit pengurangan mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh.
Di situ, masih terdapat 21 mangsa berbanding 22 orang sejak malam Jumaat lalu manakala jalan di Kampung Kijang dan Kampung Penambang yang ditutup kepada kenderaan ringan sudah boleh dilalui bermula pagi Sabtu.
Perkembangan banjir di Pasir Mas pula, menyaksikan seramai 1,543 mangsa membabitkan 556 keluarga masih berada di 18 PPS berbanding 1,599 pada sebelah malamnya.
Di Gua Musang pula mangsa masih kekal sejak malam tadi dengan 149 orang daripada 27 keluarga berada di SK Limau Kasturi 2 dan SK Lebir.
Di Jeli mangsa masih kekal dengan 64 orang membabitkan 20 keluarga berada di PPS SK Kuala Balah.
Bagaimanapun, di Tanah Merah jumlah mangsa mencatatkan sedikit pertambahan bermula sekitar jam 9 pagi Sabtu dengan 418 mangsa membabitkan 104 keluarga dipindahkan ke lapan PPS berbanding pagi tadi 384 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!