40 peratus PKRC MAEPS masih kosong
ALOR GAJAH - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang terletak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) masih mampu mengisi kira-kira 40 peratus pesakit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, setakat ini kira-kira 60 peratus katil telah diisi dan rekaan PKRC itu bukanlah sebagai pusat klinikal tetapi ruang yang disediakan bagi mereka yang tidak bergejala tetapi didapati positif Covid-19.
Menurutnya, setakat ini kapasiti PKRC itu telah dipenuhi pesakit yang tidak bergejala atau bergejala ringan, namun didapati positif Covid-19.
"Video tular, memanglah nampak ramai kerana apa yang dipaparkan adalah pesakit yang sedang berdaftar.
ARTIKEL BERKAITAN: PKRC MAEPS tidak penuh, sesak
Video tular PKRC MAEPS sesak mengelirukan
"Tidak ada isu PKRC MAEPS penuh kerana kapasiti hanya 60 peratus peratus dan masih ada lagi 40 peratus boleh diisi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Khatan Perdana 5.0 "Etno-Sains Bertanjak" di Anggerik Malaysia, di Melekek, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 0.41 saat di media sosial memaparkan keadaan di PKRC MAEPS yang sesak sehingga mencetuskan kebimbangan netizen.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, PKRC di seluruh negara masih mencukupi memandang kes sembuh juga direkodkan tinggi namun sedia mempertimbangkan untuk menambah bilangan PKRC sekiranya terdapat peningkatan kes dan permintaan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mohd Redzuan berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan video yang tular disebabkan sifat segelintir pihak yang mengharapkan layanan atau tempat rawatan kelas pertama.
"Jika ada kekurangan kita amat peka dan akan lebih sensitif untuk menambah baik keadaan itu, jadi tidak timbul isu PKRC MAEPS sesak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!