Pesakit barah tulang reda empat kali berpindah akibat banjir
KEMAMAN - Saban tahun terpaksa berpindah setiap kali musim tengkujuh pastinya memenatkan terutama bagi warga emas.
Bagi Husin Ismail, 76, dari Felda Seberang Tayor, di sini, kepenatannya itu berganda bukan sahaja kerana faktor usia tetapi kerana penyakit barah tulang yang dihidapnya sejak setahun lalu.
Menurut Husin, kudratnya sudah tidak sama, selain tidak mampu bergerak dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda serta bantuan orang lain.
"Boleh dikatakan setiap kali musim tengkujuh, kawasan rumah saya akan dinaiki air tapi bezanya dulu saya masih sihat.
"Sekarang ini, pergerakan saya terbatas sebab penyakit yang dihadapi. Jadi, bila berlaku banjir, saya perlu bergantung kepada orang lain sepenuhnya kerana saya tidak boleh berjalan sendiri. Walaupun sakit, saya reda dengan ujian ALLAH SWT," katanya.
Husin yang sudah lebih 50 tahun tinggal di Felda berkenaan berkata, dia bersama anak, menantu dan cucunya sudah empat kali berpindah pada musim tengkujuh kali ini.
Katanya, dia sudah biasa dengan banjir dan semasa kejadian banjir besar pada 2013, kediamannya dinaiki air setinggi 4.5 meter.
Terbaharu, dia terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara pada malam Ahad.
"Sekarang ini ada Covid-19 jadi, saya cuba elak daripada berkumpul atau duduk dengan orang ramai kerana bimbang memandangkan saya ini ada penyakit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!