Cebisan tubuh manusia ditemui di lokasi nahas SJ182

Beberapa ahli keluarga mangsa penumpang SJ182 di Lapangan Terbang Supadio di Pontianak tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu berita perkembangan pesawat itu pada Sabtu. - Foto: AFP
Beberapa ahli keluarga mangsa penumpang SJ182 di Lapangan Terbang Supadio di Pontianak tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu berita perkembangan pesawat itu pada Sabtu. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Kapal peronda Kementerian Perhubungan Indonesia menemui beberapa cebisan tubuh manusia di lokasi nahas pesawat Sriwijaya Air, SJ182 di Kepulauan Seribu pada Sabtu.

Kapten Eko berkata, mereka membuat rondaan itu selepas menerima aduan daripada nelayan yang terdengar bunyi letupan seperti guruh yang kuat.

"Hasil pemeriksaan kami, ia seperti cebisan daging manusia," lapor TV One memetik kenyataannya.

Selain itu, mereka juga menjumpai sisa tumpahan bahan bakar di kawasan perairan itu yang mempunyai kedalaman 15 hingga 16 meter.

Terdahulu, Bupati Kepulauan Seribu, Djunaedi menerus laporan Kompas.com mengesahkan pesawat Boeing 737 dalam perjalanan dari Jakarta ke Pontianak itu dipercayai terhempas di sekitar Pulau Laki.

Susulan itu, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) dikerahkan ke lokasi nahas tersebut dan dijangka tiba pada esok.

Menurut Timbalan Operasi dan Kesiapsiagaan Basarnas, Suryo Aji berkata, mereka sedang berusaha mengenal pasti titik koordinat lokasi SJ182 terhempas antara Pulau Lancang dan Pulau Laki di Kepulauan Seribu.

"Ia bagi memudahkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di sekitar kawasan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemancar ELT atau alat pemancar lokasi kecemasan didapati tidak memancarkan isyarat.

"Kita perlu siasat kenapa ELT pada SJ182 tidak aktif ketika kejadian nahas itu," katanya.

Terdahulu, pesawat membawa 62 penumpang termasuk tiga bayi dan 12 kru dilaporkan terputus hubungan dengan pusat kawalan lalu lintas selepas ia mencapai ketinggian 3,350 meter sebelum ia menjunam dan kemudiannya ‘hilang’.

Data FlightRadar24 mendapati keadaan itu dikatakan berlaku dalam tempoh kurang 60 saat dan kira-kira empat minit sejurus pesawat itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di ibu negara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!