Nasib Trump di hujung tanduk
ADAKAH Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada parti Republikan akan mengekalkan jawatannya sehingga majlis pelantikan rasmi Joe Biden yang mewakili parti Demokrat sebagai Presiden ke-46 negara itu pada 20 Januari ini?
Ia menjadi persoalan selepas timbulnya ura-ura Trump akan didakwa pada sesi pendengaran di Dewan Senat yang akan menyiasat sama ada beliau didapati bersalah menghasut ribuan penyokongnya bagi melakukan rusuhan di bangunan Capitol, Washington pada Rabu lalu.
Mengikut undang-undang negara itu, pendengaran tersebut akan dipengerusikan oleh Ketua Hakim AS.
Pendengaran tersebut dilaporkan akan dibuat selepas undian yang diluluskan dengan keputusan dua pertiga di Dewan Perwakilan sebelum Dewan Senat dibenarkan membuat penyiasatan terhadap Trump berhubung insiden yang menyebabkan lima kematian dan menjadi bualan para pemimpin dunia itu.
Menurut AFP, Republikan dan Demokrat yang menyandang 50 kerusi di Dewan Senat didakwa sukar untuk mendapat undian daripada anggota parti masing-masing bagi menjatuhkan kesalahan terhadap Trump berhubung insiden itu.
Tetapi, Demokrat bakal menambah satu lagi kerusi sekali gus menguasai Dewan Senat selepas Kamala Harris akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Naib Presiden AS pada majlis sama bersama Biden.
Berdasarkan Perlembagaan AS, setiap Naib Presiden akan menjadi Presiden Dewan Senat yang sememangnya akan memberikan kelebihan kepada parti Demokrat untuk menguasai dewan tersebut.
Namun, ia mungkin sudah terlambat kerana penggal pemerintahan Trump sudah berakhir pada masa tersebut dan mencetuskan persoalan sama ada Dewan Senat akan meluluskan sabitan terhadap Trump.
Beliau secara tidak langsung boleh disingkirkan daripada jawatan Presiden jika keputusan pendengaran mendapati Trump menghasut para perusuh itu menceroboh bangunan Capitol dan mendapat undi dua pertiga anggota Dewan Senat.
Dalam pada itu, proses penyingkiran Trump daripada jawatan itu dijangka bermula pada Isnin ini apabila tiga anggota parti Demokrat dilaporkan akan mengemukakan usul pendakwaan ke atas Trump dengan undian dijangka paling awal dilakukan pada pertengahan minggu depan.
Sebanyak 216 undi diperlukan bagi meluluskan usul tersebut untuk dibawa ke Dewan Senat.
Halangan utama bagi menyingkirkan Trump daripada jawatan melalui cara tersebut adalah tempoh masa memandangkan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Biden mengambil alih jawatan di Rumah Putih.
Portal berita clickorlando.com memetik kenyataan seorang pakar politik, Jim Clark melaporkan Dewan Senat dijangka tidak mempunyai masa masa mencukupi untuk meneruskan proses pendakwaan itu.
Pendekatan itu menjadi pilihan barisan anggota Demokrat berikutan Naib Presiden AS, Mike Pence dilaporkan tidak akan menggunakan Pindaan ke-25 Perlembagaan bagi membolehkan Trump berundur daripada jawatan Presiden Amerika.
Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi daripada parti Demokrat sebelum ini meminta Pence yang juga Presiden Dewan Senat untuk menggunakan Pindaan ke-25 itu bagi membolehkan anggota Kabinet menyingkirkan Presiden AS atas alasan beliau tidak berupaya lagi memimpin negara tersebut.
Selain itu, terdapat juga anggota Republikan, Senator Lisa Murkowski meminta secara terbuka supaya Trump meletakkan jawatan ekoran kejadian rusuhan di bangunan Capitol yang menempatkan Dewan Senat dan Dewan Perwakilan AS yang disifatkan paling memalukan dalam sejarah negara tersebut.
Di bawah Perlembagaan negara itu, Pence akan menjadi pemangku Presiden walaupun dalam tempoh singkat jika Trump disingkirkan atau meletakkan jawatan kira-kira 10 hari sebelum penggal pentadbirannya di Rumah Putih berakhir.
Trump menerusi ucapan kepada para penyokongnya di Taman Ellipse berhampiran Rumah Putih, Washington pada Rabu lalu dengan jelas menggalakkan mereka melakukan tindakan serangan ke atas demokrasi itu, ‘kita akan berjalan melalui Pennsylvania Avenue dan menuju ke Capitol.’
Kumpulan perusuh pro-Trump yang terpedaya dengan pembohongan bilionair hartanah itu kononnya berlaku penipuan undi pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November tahun lalu kemudiannya merempuh penghadang dan menyerbu masuk bangunan Capitol sebelum bertindak luar kawalan termasuk melakukan perbuatan vandalisme.
Tindakan ganas itu dibuat bagi menghalang pengiraan Undi Elektoral oleh Kongres untuk mengesahkan kemenangan Biden.
Biden yang juga terkejut dengan insiden huru-hara itu turut mengutuk kejadian tersebut.
Trump yang akur dengan kemenangan Biden menyatakan bahawa beliau tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah jawatan presiden. Keputusan tersebut bukan luar biasa kerana tiga bekas presiden sebelum ini turut membuat keputusan yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!