Air Selangor kecewa masalah air

Air Selangor kecewa susulan gangguan bekalan air yang kerap berlaku disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai.
Air Selangor kecewa susulan gangguan bekalan air yang kerap berlaku disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai.
A
A
A

SEBAGAI operator air di sebuah negeri termaju di Malaysia, syarikat Air Selangor Sdn Bhd sering menjadi sasaran kemarahan banyak pihak akibat gangguan bekalan air yang kerap berlaku. Air Selangor selaku pengendali bekalan air di negeri itu mengakui mereka berhadapan tekanan.

“Kami berkongsi rasa kecewa susulan gangguan bekalan air yang kerap berlaku disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai yang merupakan sumber air mentah untuk diproses di loji-loji rawatan air kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

Ikuti wawancara Sinar Ahad yang dikendalikan Penolongan Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa bersama Suhaimi bagi mengupas pelbagai isu air di Selangor.

SINAR AHAD: Selangor ialah negeri termaju dan antara terkaya di Malaysia, namun negeri ini mempunyai kadar kekerapan terputus bekalan air tertinggi di Malaysia. Apakah perasaan dan respons tuan terhadap pernyataan ini?

SUHAIMI: Mandat kami di Air Selangor adalah untuk memastikan pengguna mendapat bekalan air bersih yang berterusan setiap hari. Semestinya, kami berkongsi rasa kecewa dengan gangguan bekalan air tidak berjadual yang kerap berlaku akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai yang merupakan sumber air mentah untuk diproses di loji-loji rawatan air kami.

Suhaimi
Suhaimi

Walaupun pelbagai tekanan diberikan kepada kami termasuk desakan untuk terus memproses air mentah yang tercemar dan membekalkan air yang berbau, kami tidak akan berkompromi dengan kualiti air yang dibekalkan kerana keselamatan pengguna lebih diutamakan.

Kami mematuhi piawaian yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk sentiasa membekalkan air bersih dan selamat kepada lebih 8.4 juta pengguna kami di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami di Air Selangor juga merupakan pengguna air seperti anda.

Artikel Berkaitan:

Permintaan bekalan air bersih selari dengan pertambahan penduduk, perbandaran dan pertumbuhan sektor ekonomi. Bagaimana tuan melihat perbezaan permintaan bekalan air pada tahun 2020 berbanding 10 atau 15 tahun lalu?

Sudah tentu terdapat perbezaan berbanding 10 atau 15 tahun lalu disebabkan proses urbanisasi dan pembangunan yang pesat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang juga nadi kepada Malaysia.

Berdasarkan rekod Air Selangor, permintaan bekalan air meningkat antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus setiap tahun. Pada tahun 2014, bilangan akaun pelanggan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 2,012,241.

Pada tahun 2020, bilangan ini telah meningkat kepada 2,482,256 akaun iaitu peningkatan sebanyak 23.4 peratus.

Bagi jumlah akaun tersebut, Air Selangor bertanggungjawab untuk memastikan 5,000 juta liter sehari (JLH) dirawat dan dibekalkan kepada lebih 8.4 juta pengguna.

Sebagai perbandingan, jumlah ini bersamaan dengan jumlah pengeluaran bekalan air di empat negeri; iaitu Pulau Pinang (1,093 JLH), Johor (1,888 JLH), Perak (1,357 JLH) dan Terengganu (632 JLH) pada tahun 2019.

Berdasarkan permintaan ini, pelbagai perancangan jangka panjang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan.

Antaranya, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2, LRA Labohan Dagang dan LRA Langat 2 untuk memenuhi permintaan yang terus meningkat setiap tahun.

Margin simpanan air sehingga 30 November 2020 berada pada paras 12.58 peratus, kami mempunyai pelan untuk meningkatkan rizab margin sehingga tahun 2030 pada tahap 15 peratus.

Kami sentiasa bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa dalam industri pembekalan air ini bagi memastikan usaha dan strategi untuk meningkatkan margin simpanan air dan menambah kemampuan penyediaan bekalan air bersih dapat dilaksanakan supaya boleh menampung jangkaan permintaan ini.

Air Selangor berusaha untuk memastikan bekalan air yang lestari dan berterusan agar aktiviti ekonomi dan industri dapat berjalan tanpa gangguan.
Air Selangor berusaha untuk memastikan bekalan air yang lestari dan berterusan agar aktiviti ekonomi dan industri dapat berjalan tanpa gangguan.

Akibat krisis air tidak berkesudahan, ramai mengkritik kononnya Air Selangor tiada pelan penyelesaian jangka panjang yang tersusun dan mampan berhubung masalah bekalan air. Apakah ini yang berlaku?

Semestinya kami mempunyai pelan untuk memastikan bekalan air yang lestari dan berterusan kepada para pengguna. Pelan perniagaan 30 tahun yang dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah pun diluluskan pada 13 November 2020.

Kami memperuntukkan sebanyak RM35.4 bilion untuk tempoh 30 tahun bagi melaksanakan beberapa inisiatif utama demi memastikan bekalan air terawat adalah mencukupi dan lestari; meningkatkan kebolehpercayaan dan ketahanan aset-aset kami; dan memastikan khidmat pelanggan yang terbaik di samping meningkatkan kualiti air agar boleh diminum terus dari paip pada tahun 2028.

Dalam 10 tahun akan datang, antara projek pembinaan loji rawatan air baharu yang akan dilaksanakan adalah pembinaan LRA Rasau Peringkat 1 yang akan siap pada tahun 2024, LRA Labohan Dagang Fasa 2 pada 2026, LRA Rasau Peringkat 2 pada tahun 2028 dan LRA Langat 2 Fasa 2 yang akan siap pada tahun 2030.

Pada masa sama, Air Selangor juga telah membelanjakan sehingga RM1.8 bilion dari 2016 hingga Ogos 2020 untuk tujuan penggantian paip usang sepanjang 716 kilometer serta penambahbaikan dan penaiktarafan loji rawatan air serta sistem pengagihan bekalan air kepada pengguna.

Terdapat cadangan supaya kerajaan negeri melaksanakan langkah alternatif seperti membuat tadahan air hujan di kawasan perumahan yang dibiayai oleh kerajaan negeri. Ini dapat menyelesaikan masalah keperluan air setempat manakala gangguan bekalan air dapat diminimumkan dan tidak akan menjejaskan terlalu ramai pengguna seperti sekarang. Apakah pandangan tuan mengenai cadangan ini?

Air Selangor mengalu-alukan langkah untuk menyediakan bekalan air alternatif seperti tadahan air hujan atau rain harvesting di kawasan-kawasan perumahan yang mana kegunaannya adalah untuk mencuci bangunan atau rumah, menyiram pokok, sanitasi di tandas serta untuk memadam kebakaran.

Langkah alternatif ini telah dilaksanakan di beberapa negara maju antaranya di Jepun yang mana kerajaan Jepun telah meluluskan untuk meluaskan lagi pembinaan kawasan tadahan air hujan di setiap bangunan baharu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Kolam tadahan ini semestinya akan mengurangkan kebergantungan pengguna kepada air bersih yang dibekalkan oleh Air Selangor apabila berlakunya gangguan bekalan air.

Saya percaya, kajian dan perancangan jangka panjang sedang diperhalusi oleh pihak kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu bekalan air selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam menguruskan bekalan air pada masa akan datang.

Masalah paip pecah yang menyumbang kepada 30 peratus air tidak terhasil (NRW) memburukkan lagi masalah bekalan air di Selangor. Apakah tindakan Air Selangor bagi mengelakkan masalah ini berulang, misalnya melakukan penyelenggaraan paip secara berkala dan berjadual? Berapakah kos yang terlibat?

Air Selangor sentiasa berusaha untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan dari masa ke masa. Kami telah membelanjakan sebanyak RM672 juta dari tahun 2016 hingga 2020, untuk membaiki rangkaian paip lama dan usang sepanjang 716 kilometer.

Program penggantian paip lama dan usang dilaksanakan setiap tahun dengan anggaran jajaran paip sepanjang 150 kilometer.

Kami telah berjaya menurunkan kadar air tidak terhasil (NRW) pada tahap 29.7 peratus pada tahun 2019 berbanding 31.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Menurut Suhaimi (kanan), Air Selangor memperuntukkan RM35.4 bilion untuk memastikan bekalan air di Selangor mencukupi dan lestari termasuk boleh diminum terus dari paip.
Menurut Suhaimi (kanan), Air Selangor memperuntukkan RM35.4 bilion untuk memastikan bekalan air di Selangor mencukupi dan lestari termasuk boleh diminum terus dari paip.

Sehingga 31 November 2020, jumlah NRW adalah pada kadar 28.7 peratus iaitu penurunan satu peratus berbanding tahun 2019. Pencapaian ini diperoleh menerusi perancangan rapi dan pelaksanaan beberapa inisiatif yang berterusan sejak 2017.

Antaranya, pengurangan kadar kes paip pecah sebanyak 45 peratus dari tahun 2018 iaitu 2,787 kes berbanding 5,101 kes pada 2015. Ini merupakan satu perkembangan yang amat baik apabila hanya sembilan kes paip pecah direkodkan bagi setiap 100km berbanding tanda aras antarabangsa terhadap Indeks Paip Pecah (PBI) iaitu 13 kes paip pecah bagi setiap 100km setahun.

Selain itu, kadar kehilangan air juga berjaya dikurangkan menerusi pemasangan sensor pada paip-paip utama bagi membolehkan pemantauan tekanan air dilakukan dan mengesan pressure transient. Kami juga telah menggantikan meter lama dan meter rosak dengan meter yang baharu.

Sungai Selangor adalah sumber air mentah yang terpenting di negeri ini. Sebenarnya, berapa kalikah Sungai Selangor tercemar dalam tempoh dua atau tiga tahun lalu. Apakah puncanya? Kenapakah pencemaran Sungai Selangor ini kelihatan sangat sukar untuk ditangani?

Sungai Selangor telah mengalami pencemaran lapan kali sejak dua tahun lepas. Ini termasuk tiga kejadian pencemaran pada dua bulan lepas yang mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Selangor dan Kuala Lumpur.

Berdasarkan statistik pencemaran dan henti tugas loji, pencemaran ini disebabkan oleh pelepasan efluen dari industri di hulu sungai. Terdapat juga individu tidak bertanggungjawab yang membuang sisa toksik di rizab sungai atau di dalam sungai seterusnya menjejaskan kualiti air sungai. Akibatnya, loji-loji rawatan air kami terpaksa dihenti tugas berkali-kali.

Dalam mengatasi isu pencemaran, kerjasama perlu diwujudkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang relevan dalam memantau pencemaran sungai.

Sebagai operator air, Air Selangor hanya bertanggungjawab untuk mengekstrak, merawat serta membekalkan air bersih kepada para pengguna. Bagaimanapun, kami akan sentiasa menyokong usaha pihak berkuasa dalam isu ini.

Air Selangor sentiasa prihatin dengan nasib penggunanya.
Air Selangor sentiasa prihatin dengan nasib penggunanya.

Kerajaan negeri baru-baru ini dilaporkan bercadang untuk meningkatkan pengurusan air dengan menggunakan teknologi tertentu bagi menyahbau di loji-loji rawatan tanpa perlu dihenti tugas. Boleh tuan jelaskan mengenai teknologi berkenaan?

Baru-baru ini kerajaan negeri telah mengumumkan beberapa inisiatif dan langkah yang akan diambil untuk menguruskan isu pencemaran sungai dengan lebih efisien.

Kajian masih dijalankan untuk melihat keberkesanan penggunaan teknologi tertentu bagi menyahbau di loji-loji rawatan air bagi mengelakkan henti tugas tidak berjadual.

Selain itu, teknologi yang boleh diguna pakai adalah dengan menyekat air tercemar di sungai dan menyalurkan bekalan menggunakan kolam-kolam takungan lain atau menerusi kolam Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS).

Apakah sumber air mentah Selangor mencukupi dan berapa tahun lagi ia mampu bertahan?

Sumber air mentah utama Selangor berasal dari lembangan Sungai Selangor di mana enam lembangan utama merupakan lokasi penting untuk mengekstrak air mentah dan muka sauk bagi loji–loji rawatan air (LRA) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sumber air mentah yang sedia ada adalah mencukupi untuk dirawat di loji-loji rawatan air kami dan kemudiannya diagihkan kepada para pengguna.

Air Selangor juga mempunyai perancangan untuk mengambil air mentah di hiliran sungai yang selama ini dibiarkan mengalir ke laut begitu sahaja.

Ini termasuk dengan membina kolam-kolam yang akan membuat prarawatan dengan memastikan kotoran yang terdapat di dalam air sungai dimendapkan terlebih dahulu sebelum dirawat di loji-loji rawatan air yang akan dibina di hiliran sungai.

Konsep ini telah mula digunakan di Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Labohan Dagang. Namun begitu, pencemaran sungai adalah masalah utama yang mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang kerap berlaku. Bilangan sungai tidak pernah bertambah tetapi semakin berkurangan sekiranya kualiti air sungai tidak dipelihara untuk generasi akan datang.

Rizab air Selangor dilaporkan hanya dua peratus sedangkan keperluan air sangat tinggi. Mengapa perkara ini berlaku dan apakah usaha untuk meningkatkan rizab air di Selangor?

Margin rizab air kami buat masa ini sebenarnya berada pada tahap 11 peratus, iaitu satu tahap yang memuaskan. Dengan tahap ini, bekalan air adalah mencukupi bagi menampung permintaan 8.4 juta pengguna di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Namun begitu, Air Selangor sedang melaksanakan rancangan dan inisiatif strategik bagi memastikan rizab air di Selangor dapat dipertingkat.

Kami mempunyai pelan untuk meningkatkan rizab margin sehingga tahun 2030 pada tahap 15 peratus. Ini setanding dengan operator air global yang lain dengan paras rizab margin yang selesa sebanyak 15 hingga 20 peratus.

ANEKDOT

Air nadi ekonomi Selangor

Tidak dinafikan, masalah gangguan bekalan air mempunyai kesan ke atas ekonomi dan industri. Malahan, bekalan air bersih amat diperlukan sewaktu negara kita dilanda pandemik Covid-19. Gangguan bekalan air membebankan pengguna serta pemilik perniagaan yang sedang menghadapi cabaran ekoran wabak itu.

Kami sedar bahawa gangguan bekalan air akan mempengaruhi keyakinan pelabur sekali gus menjejaskan peluang perniagaan. Apa yang penting adalah kami sedang giat berusaha untuk memastikan bekalan air yang lestari dan berterusan agar aktiviti ekonomi dan industri dapat berjalan tanpa gangguan. Namun, ini haruslah berjalan seiring dengan kepekaan terhadap isu pencemaran sungai.

Penduduk Lembah Klang terlebih guna air

Menurut statistik Air Selangor, pada penggal ketiga (Julai hingga September) tahun 2020, purata penggunaan air bagi setiap individu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 230 liter sehari. Ia lebih tinggi daripada yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 165 liter, manakala sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah sebanyak 180 liter sehari menjelang tahun 2025.

Setakat Jun 2020, sebanyak 34 LRA Air Selangor membekalkan 5,000 MLD air kepada 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bantu banteras pencemar sungai

Saya yakin kesedaran orang ramai terhadap aktiviti jenayah alam sekitar telah meningkat disebabkan kerap berlaku pencemaran hingga menyebabkan gangguan bekalan air pada tahun ini.

Saya menyeru orang awam supaya kepekaan ini akan berterusan untuk tempoh yang lama dalam usaha melindungi sungai kita daripada dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Jadilah mata dan telinga pihak berkuasa dalam melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan berhampiran sumber-sumber air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!