Mangsa banjir di Terengganu berkurangan

Banjir yang masih berlaku di bandar Chukai, Kemaman pada pagi Ahad.
Banjir yang masih berlaku di bandar Chukai, Kemaman pada pagi Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu pada pagi Ahad semakin baik dengan jumlah mangsa yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 10,086 orang.

Sehingga jam 8 pagi, hanya 43 PPS yang masih dibuka di dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun melibatkan seramai 2,534 keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman kekal daerah yang paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 8,626 orang daripada 2,125 keluarga.

Menurutnya, sebanyak 19 PPS masih dibuka di daerah itu.

"Di Dungun pula, mangsa juga menurun kepada 1,460 orang daripada 409 keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di 24 PPS di daerah itu.

"Jumlah mangsa di daerah Dungun juga menunjukkan trend penurunan," katanya di sini pada Ahad.

Sementara itu, beliau berkata, cuaca pada pagi Ahad di beberapa kawasan di negeri ini mendung dan kadangkala hujan.

"Paras sungai pula menunjukkan trend menurun di sebelah hulu.

Artikel Berkaitan:

"Hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman melepasi paras bahaya dengan bacaan 5.18 meter, manakala Sungai Dungun di Jambatan Jerangau pula berada pada paras amaran dengan bacaan 12.48 meter. Lima lagi sungai direkodkan berada pada paras waspada," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!