iNix pajak kilang untuk tingkat pengeluaran sarung tangan
KUALA LUMPUR- Anak syarikat iNix Technologies Holdings Bhd (iNix), INix Glove Manufacturing SdnBhd (iNix Glove) telah menandatangani perjanjian pajakan selama 10 tahun ke atas tapak kilang seluas 2.25 ekar di Beranang, Selangor sebagai persediaan dalam pengambilalihan syarikat pembuatan sarung tangan.
Pengarah Eksekutif iNix, Siva Kumar Kalugasalam berkata, iNix telah menandatangani MOU dengan membayar deposit 45 peratus untuk memperolehi syarikat L&S Gloves Sdn Bhd dan proses pengambilalihan telah memasuki peringkat akhir.
Katanya, ketika ini L&S Glove mempunyai dua barisan pengeluaran sedia ada.
Menurut Pengarah L&S Gloves TeoYoek Leong, dengan perjanjian sewa baharu itu, L&S Gloves dan iNix Glove akan dapat menambah dua lagi barisan pengeluaran bulan depan.
Tambahnya, dua lagi barisan pengeluaran akan ditambah setiap tiga bulan untuk melengkapkan 14 barisan pengeluaran.
Sementara itu, Pengerusi iNiX, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir berkata, langkah syarikat itu memajakkan kilang dan menggunakan dua daripada 12 barisan pengeluaran tambahan, menunjukkan komitmen syarikatnya menceburkan diri dalam pembuatan sarung tangan dan penambahan 12 barisan dalam tempoh 12 bulan.
Pada 7 Disember tahun lalu, iNix telah menandatangani perjanjian dengan L&S Gloves untuk memperoleh 51 peratus kepentingan ekuiti syarikat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!