Sertai MCA: Peguam DAP desak ADUN Malim Nawar buat keputusan

Yee Chern (duduk, tengah) menunjukkan akuan berkanun yang ditandatangani Cheok Keng sebelum menjadi calon PRU14 ketika sidang akhbar di Pejabat DAP Perak pada Ahad.
Yee Chern (duduk, tengah) menunjukkan akuan berkanun yang ditandatangani Cheok Keng sebelum menjadi calon PRU14 ketika sidang akhbar di Pejabat DAP Perak pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Enam peguam Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng supaya segera membuat keputusan sama ada untuk kekal bersama DAP atau menyertai MCA.

Setiausaha DAPSY Perak, Teoh Yee Chern berkata, tindakan Cheok Keng yang menyatakan hasrat menyertai MCA dalam satu sidang akhbar pada 7 Januari lalu merupakan satu pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan oleh DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, sebelum menerima watikah pelantikan sebagai calon PRU14, semua wakil rakyat DAP Perak telah menandatangani surat persetujuan untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat dan membayar wang pampasan kepada DAP sebanyak RM10 juta sekiranya mereka menyertai parti politik lain.

"Pada masa sama, kesemua calon DAP Perak juga telah menandatangani Surat Akuan Berkanun bahawa mereka tidak akan keluar dari DAP sepanjang tempoh penjawatan mereka selaku seorang ahli Parlimen atau ADUN dan akan kekal sebagai seorang wakil rakyat untuk DAP.

"Persoalan yang kami hendak bangkitkan adalah sama ada Leong Cheok Keng, selaku seorang wakil rakyat dan peguam bertauliah akan berpegang kepada janji dan komitmen beliau untuk meletak jawatan sebagai ADUN Malim Nawar sedangkan beliau telah memohon untuk menyertai Parti MCA?" katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat DAP Perak, di sini pada Ahad.

Lima peguam muda yang bersama mengemukakan desakan itu ialah Wong Kar Keat, Woo Kah Leong, Chong Kar Yang, Jason Ng Thien Yeong dan Siew Chin.

Sementara itu, Yee Chern yang juga ADUN Astaka turut mempersoalkan sama ada Cheok Keng bersedia berdepan implikasi surat Akuan Berkanun dan mendukung semangat undang-undang serta surat perjanjian yang telah ditandatangani oleh beliau sendiri.

Menurutnya, ADUN Malim Nawar itu tidak perlu menunggu parti memecat beliau sebaliknya bertindak berani dengan mengumumkan secara rasmi keluar parti dan menyertai MCA.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah satu isu kredibiliti dan kejujuran yang penting untuk seorang wakil rakyat yang juga peguam. Beliau perlu berpegang kepada janji undang-undang yang telah beliau berikan

"Maka, kami mendesak supaya beliau menunjukkan kredibiliti dan kejujuran beliau dan meletak jawatan sebagai ADUN Malim Nawar dengan serta merta tanpa mengungkit apa-apa alasan remeh lagi.," katanya.

Cheok Keng ketika dihubungi Sinar Harian sebelum ini enggan mengulas lanjut mengenai hasratnya enyertai MCA.

Malah Jawatankuasa Disiplin DAP turut mengemukakan surat tunjuk sebab kepadanya meminta penjelasan mengenai laporan akhbar mengenai perkara tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!