Kisah keberanian anak kecil dijangkiti Covid-19
SHAH ALAM - Reaksi seorang kanak-kanak perempuan pada awalnya sedih setelah mendapat tahu dia dijangkiti Covid-19, bertukar ceria apabila mengetahui dia akan berjumpa dengan ayahnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ibunya, Ira Hazwani Mohd Zaini, 33, berkata, anaknya, Nur Safiyya Muhamad Ifwan, 5, teruja apabila dia mengetahui akan bertemu ayahnya, Muhamad Ifwan Mohd Rais, 33, yang juga dijangkiti virus tersebut.
Bagaimanapun, Ira Hazwani berkata, Saffiya perlu ke sana seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga yang lain.
“Bila saya tanya dia (Safiyya) boleh ke naik ambulans seorang diri, dia kata boleh.
“Dia tanya, ada ayah ke nanti? Saya kata ayah ada, nanti jumpa di sana. Dia kata okey, dia tidak menangis,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ira Hazwani berkata, Safiyya bersedih apabila mendapat tahu dia dijangkiti Covid-19 setelah mendengar penjelasan daripada ibunya.
Katanya, Saffiya perlu memakai pelitup muka sepanjang masa di rumah kerana Ira Hazwani tidak boleh mengasingkan dirinya sama seperti ayahnya.
“Bila adiknya datang dekat pun, dia menolak dan mengelak daripada adiknya,” katanya.
Mengulas lanjut tentang perkembangan Saffiya di HKL, Ira Hazwani berkata, dia sentiasa menghubungi anaknya itu yang kini berada di sisi ayahnya di hospital.
Menurutnya, dia sempat mengajarkan anaknya cara menggunakan telefon pintar untuk menghubunginya melalui panggilan video.
“Buat masa sekarang, keadaannya masih baik kerana ayahnya ada di sana untuk menjaganya. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan katil mereka berdua ditempatkan bersebelahan masing-masing.
“Dia masih belum menunjukkan sebarang simptom, tapi dia gembira kerana ayahnya ada di sisi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!