Rakyat jangan panik pengumuman PM esok: Ismail Sabri

Ismail Sabri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Akbar untuk disampaikan kepada mangsa banjir di Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Negeri Kelantan oleh Menteri Kanan Pertahanan di Kem Pengkalan Chepa pada Ahad.
Ismail Sabri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Akbar untuk disampaikan kepada mangsa banjir di Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Negeri Kelantan oleh Menteri Kanan Pertahanan di Kem Pengkalan Chepa pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU- Kerajaan mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat pembelian panik yang kononnya negara akan sekali lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini rakyat tidak perlu bimbang dan lebih baik menunggu inti pati sah pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Menurutnya, orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tular di media sosial berikutan pengumuman yang bakal dilakukan Perdana Menteri.

“Saya nak bagi tahu, tak perlu ada pembelian panik. Jangan terpengaruh dengan khabar angin. Contohnya malam tadi ada satu khabar angin mengatakan sekatan jalan raya akan dibuat dan orang ramai tidak boleh keluar tetapi tiada pun sekatan jalan raya dilakukan.

“Jadi jangan bimbang akan pengumuman esok, selepas pengumuman barulah kita tahu apa perkara yang sebenar,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir Negeri Kelantan oleh Menteri Kanan Pertahanan di Kem Pengkalan Chepa.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima 8 Briged, Zamsari Abu Hasan dan wakil pemimpin tempatan, Akbar Salim.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri meminta rakyat untuk bertenang dan tidak menyerbu pasar raya dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu rakyat ketakutan hari ni kerana penularan Covid-19 yang sedang meningkat, tapi kena jaga juga keselamatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!