Pulau Pinang sedia pakej bantuan jika PKP dilaksana semula

Kon Yeow (kiri) menerima replika cek bantuan dari Arunasalam (kanan) di Pusat Khidmat Dun Padang Kota, Georgetown pada Ahad.
Kon Yeow (kiri) menerima replika cek bantuan dari Arunasalam (kanan) di Pusat Khidmat Dun Padang Kota, Georgetown pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang bersiap sedia dalam pelaksanaan pakej bantuan Covid-19 kepada rakyat yang terkesan di negeri ini sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula oleh kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau sudah mengarahkan Exco dan Pegawai Kewangan Pulau Pinang supaya bersiap sedia dalam menyediakan pakej bantuan jika kerajaan mengumumkan PKP semula.

Menurutnya, pakej bantuan tersebut telah diperuntukkan dalam bajet dan ia akan diuruskan dan disusun semula seperti yang dirancang.

"Saya telah memberi arahan awal memandangkan kita menjangkakan satu keputusan iaitu PKP, yang mungkin boleh dibuat di sini (Pulau Pinang). Saya telah bangkitkan isu ini pada Mesyuarat Exco pada Rabu lalu untuk semua pihak bersedia dengan pakej bantuan Covid-19 yang sewajarnya mengikut kesesuaian.

"Kali ini pakej bantuan yang diperuntukkan dalam bajet akan kita uruskan seperti apa yang dirancang dan susun semula yang mana perlu. Apa-apa pun, kita tunggu pengumuman esok," katanya kepada pemberita di Majlis Sumbangan Beg Penyayang One Hope Charity di Pusat Khidmat Dun Padang Kota, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan ‘Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0’ berjumlah RM76 juta bagi memperkukuhkan ekonomi negeri selepas pelaksanaan PKP.

Pengumuman itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi insentif bantuan Covid-19 yang diluluskan kerajaan Pulau Pinang tahun lalu berjumlah RM151 juta.

Kon Yeow berkata, pakej rangsangan ekonomi negeri kedua itu adalah bertujuan meletakkan wang ringgit ke tangan golongan paling terkesan, pasaran serta industri tersasar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menambah, pihaknya akan mencadangkan sekolah sebagai pusat Covid-19 berisiko rendah jika jumlah pesakit yang disahkan positif semakin meningkat di negeri ini.

"Selain dewan komuniti, kita akan mencadangkan sekolah sebagai alternatif untuk pusat berisiko rendah jika jumlah pesakit semakin meningkat. Selain itu, kita juga akan mencadangkan hotel namun kosnya agak tinggi.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP)," katanya

Terdahulu, Penasihat One Hope Charity, Datuk Seri R Arunasalam menyampaikan 4,200 bakul makanan yang mengandungi keperluan asas bernilai RM300 setiap satu kepada Kon Yeow untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Bantuan membabitkan peruntukan berjumlah RM1.26 juta itu diserahkan kepada 40 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!