Kenyataan Ahmad Maslan dangkal, tidak wakili suara UMNO
SHAH ALAM - Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkenaan orang yang mempunyai Ijazah kedoktoran (PhD) juga bersetuju Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera disifatkan sebagai dangkal dan tidak mewakili suara akar umbi UMNO.
Exco Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mempersoalkan kenyataan tersebut dan berpendapat masyarakat lebih ramai tidak bersetuju dengan keputusan untuk mengadakan PRU.
Menurutnya, tidak semua orang mempunyai ilmu pengetahuan yang cetek meskipun mereka bukan golongan berpendidikan tinggi.
“Beritahu saya, orang PhD mana yang dia sudah tanya? Berapa ramai orang PhD yang bersetuju agar PRU diadakan segera?
“Saya percaya lebih ramai yang tidak bersetuju berbanding setuju lagi-lagi rakyat seperti kami. Walaupun kami tidak ada PhD, tapi kami tidaklah dangkal pemikiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN Hubungan renggang punca lebih 118 bahagian UMNO tolak Bersatu
Muhamad Muqharabbin berkata, sebagai Setiausaha Agung UMNO, Ahmad perlu lebih peka dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak mengguris mana-mana pihak.
“Tugas Setiausaha Agung UMNO adalah menguruskan hal-hal dalaman UMNO, bukan menjadi jurucakap UMNO.
“Seharusnya, biarlah Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan parti,” katanya.
Terdahulu, menurut laporan sebuah portal, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menyifatkan hanya golongan berpendidikan tinggi dapat memahami keperluan melakukan PRU secepat mungkin.
Beliau berkata demikian selepas menonton laporan berita memaparkan reaksi seorang pemarut kelapa yang berpandangan PRU tidak wajar diadakan buat masa ini kerana penularan Covid-19 masih berlaku.
Sementara itu, Muhamad Muqharabbin berkata, pemimpin UMNO yang menjadi ahli Parlimen perlu mengutamakan tanggungjawab mereka dalam membantu kerajaan menyelesaikan wabak pandemik Covid-19 terlebih dahulu.
“Saya akui UMNO adalah sebuah parti besar dan banyak pendapat yang perlu dipertimbangkan.
“Tapi keutamaan kita adalah rakyat dan juga barisan hadapan yang penat dan terpaksa berdepan dengan wabak ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!