237,000 pekebun kecil getah terima BMT setakat 5 Januari

Mohd Salim (dua dari kanan) menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada Nur Aina Saffiya Zulkefli, 12, (dua dari kiri) pada program Back To School Parlimen Jempol pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohd Salim (dua dari kanan) menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada Nur Aina Saffiya Zulkefli, 12, (dua dari kiri) pada program Back To School Parlimen Jempol pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JEMPOL - Kerajaan menyelesaikan pembayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2020 kepada kira-kira 237,000 pekebun kecil getah atau 98.6 peratus daripada yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), membabitkan jumlah RM122 juta, setakat 5 Januari lalu.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Mohd Shariff berkata, masing-masing menerima RM600 yang bertujuan meringankan beban mereka mendepani penurunan produktiviti berikutan musim tengkujuh.

“Pembayaran dibuat menerusi e-perbankan. Bagi kawasan pedalaman yang tidak ada bank atau kemudahan jalan raya yang baik, khususnya di Sabah dan Sarawak, pegawai RISDA ke kawasan tersebut dan menyerahkan sendiri BMT, jadi tidak timbul isu ketirisan,” katanya selepas merasmikan Program Back To School 2021@KPLB di sini pada Sabtu anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

BMT 2020 layak diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan tanah tidak melebihi 2.5 hektar. Pembayaran dilakukan dalam dua fasa dengan fasa pertama RM300 dilakukan Disember lalu dan bakinya pada bulan ini.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, RISDA sedang menyemak kerugian yang dialami pekebun kecil akibat bencana banjir, selain akan membaik pulih jalan yang menghubungkan kebun getah bagi membolehkan pengusaha kembali bekerja apabila musim tengkujuh berakhir. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!