Kerajaan PN masih boleh mentadbir, belum sesuai adakan PRU

Osman
Osman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh terus mentadbir negara kerana ketika ini masih memperoleh majoriti mudah iaitu mendapat sokongan 110 ahli Parlimen.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam itu berkata, ia bagaimanapun terpulang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk tentukan bila PRU15, sama ada nak teruskan Kabinet sedia ada untuk perintah negara atau umum PRU15 lepas dapat nasihat Yang di-Pertuan Agong.

"Namun pada pandangan saya, belum masa untuk bubar (Parlimen), ekonomi tidak baik, Covid-19 meningkat dan sekarang musim banjir selain pada Mac sudah mula puasa, lepas itu hari raya. Jadi tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat.

"Di Dewan Rakyat, kita masih ada majoriti dan boleh tubuh kerajaan walaupun tidak dapat dua pertiga majoriti sebab kita ada majoriti mudah, masih kekal (dengan majoriti mudah)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis sumbangan peralatan murid kembali ke sekolah di Dewan Raya Kempas di sini pada Ahad.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada Rabu, antaranya menggesa PRU15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat tertakluk kepada keadaan Covid-19.

Pelbagai pihak membantah gesaan tersebut antaranya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang berpendapat, PRU15 akan mencetuskan gelombang keempat Covid-19 dan dibimbangi situasi akan menjadi tidak terkawal.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15 akan cetus gelombang keempat Covid-19

Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mahu memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 tidak menghairankan.

"Kita tidak terperanjat jika UMNO mahu berbuat demikian kerana perkara ini kita sudah nampak dari awal lagi kerana mereka bersama Bersatu hanya untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

"Bila jadi kerajaan dan mempunyai kedudukan, mereka jadikan ia sebagai platform untuk perkukuh kedudukan dengan meletakkan individu di jawatan berkepentingan sama ada di peringkat akar umbi seperti ketua kampung, ahli majlis atau di peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, pemimpin UMNO tidak jujur dalam perjuangan kerana mengharapkan kedudukan dan jawatan untuk melakukan sesuatu perkara.

Menurutnya, ini kerana majoriti pemimpin mereka yang bersuara lantang ketika ini adalah yang tewas pada PRU14 selain tidak mendapat kedudukan yang dimahukan.

Katanya, antara individu berkenaan termasuk pemimpin UMNO dari negeri ini yang pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet kerajaan terdahulu atau pernah menjadi Menteri Besar Johor.

"UMNO ini, pemimpin mereka ramai yang tidak jujur, bukan sahaja tidak jujur dengan Bersatu tetapi juga dengan masyarakat.

"Jika hasratnya mahu membantu dan memberi manfaat kepada rakyat, mereka masih boleh berbuat demikian walaupun berada di luar kerajaan dan tidak memegang sebarang jawatan besar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15 biarlah tunggu Covid-19 selesai: Abdul Hadi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!