Ahli hadir mesyuarat Bersatu diarah jalani saringan Covid-19
SHAH ALAM - Semua yang menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 6 Januari lalu bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 serta-merta sebagai langkah keselamatan.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, kesemua ahli mesyuarat menitikberatkan langkah-langkah yang sewajarnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Beliau (Mustapa) telah menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada Rabu dan mesyuarat tersebut berjalan mengikut SOP yang betul dan teliti.
“Namun sebagai langkah pencegahan, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta semua yang hadir semasa mesyuarat tersebut diarahkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Mustapa disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan pada malam Sabtu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) pada Ahad, beliau menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada pagi Sabtu.
Katanya, seluruh barisan kepimpinan Bersatu mendoakan agar beliau dilindungi dan diberikan kesembuhan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa disahkan positif Covid-19
Muhyiddin pengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu malam ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!