Rusia enggan pindah kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis

4
4
A
A
A

MOSCOW - RUSIA. Rusia tidak akan mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) yang memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pada Disember 2017, Presiden Donald Trump dengan bongkaknya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Yahudi, sekali gus menimbulkan kemarahan penduduk Palestin, dunia Islam dan sekutu Barat.

Duta Rusia ke Israel, Anatoly Viktorov memberitahu agensi berita TASS semalam bahawa Moscow tidak akan melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Isu pemindahan kedutaan Rusia dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis adalah di luar agenda. Moscow komited dan menghormati undang-undang antarabangsa.

"Rusia juga menyokong resolusi PBB yang menolak keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel," kata Viktorov.

Selain AS, Guatemala turut memindahkan kedutaannya ke tempat suci ketiga bagi umat Islam itu sejak Mei lalu.

Paraguay menjadi negara ketiga mengikut jejak langkah AS dan Guatemala, namun memindahkan kembali kedutaannya ke Tel Aviv selepas menerima kecaman domestik dan antarabangsa.

Negara lain seperti Austria, Brazil, Australia dan Republik Czech telah menyatakan minat untuk berbuat demikian namun belum mengambil sebarang tindakan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!