Kerajaan Pusat, negeri perlu bekerjasama pastikan kebajikan mangsa banjir

Nik Hazran Nizam yang mengalami kemalangan motosikal sebulan lalu disantuni Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berdiri kanan) yang membuat lawatan di pusat pemindahan sementara di SMK Seberang Temerloh pada Ahad. - Foto Bernama
Nik Hazran Nizam yang mengalami kemalangan motosikal sebulan lalu disantuni Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berdiri kanan) yang membuat lawatan di pusat pemindahan sementara di SMK Seberang Temerloh pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama bagi memastikan kebajikan mangsa banjir tidak hanya terbatas dari segi penyediaan bekalan keperluan harian semasa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sebaliknya, usaha itu perlu diteruskan sehingga satu tempoh yang sesuai selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Hal sama turut melibatkan aspek lain seperti membaik pulih kediaman mereka yang rosak dan langkah ini untuk memastikan mangsa tidak terus berada dalam keadaan trauma akibat musibah,” katanya menerusi catatan di laman Facebook.

Muhyiddin yang pada Ahad meninjau keadaan banjir selain menyantuni mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di Temerloh dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran berkata, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah diminta untuk segera menumpukan usaha membaik pulih infrastruktur yang rosak teruk akibat banjir seperti jalan raya, masjid dan sekolah.

Katanya, beliau bertemu mangsa banjir termasuk warga emas yang berlindung di PPS untuk bertanyakan keadaan kesihatan mereka dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Alhamdulillah mereka baik-baik sahaja, malah ada yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan PPS dengan kemudahan memuaskan di samping petugas yang sentiasa memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan PPS dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menyediakan dua khemah kepada keluarga yang mempunyai lebih daripada enam orang bagi menjamin keselesaan kepada mereka sepanjang berada di pusat penempatan itu.

Menerusi catatan itu, Perdana Menteri turut mendoakan agar semua mangsa banjir seluruh negara terhindar daripada sebarang penyakit dan pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan sihat.

Artikel Berkaitan:

Lawatan Muhyiddin turut disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim serta pegawai kanan agensi berkaitan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!